Bersedia kemungkinan banjir gelombang ketiga: MB Kelantan
KOTA BHARU - Kerajaan negeri berharap penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang ketiga banjir di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, rakyat negeri ini juga perlu peka dengan maklumat semasa yang dimaklumkan pihak Jabatan Meteorologi walaupun ia merupakan satu ramalan, namun semua pihak perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir gelombang ketiga.
“Laporan MetMalaysia dikeluarkan adalah supaya kita berikhtiar dan kita minta rakyat bersedia hadapi apa-apa kemungkinan (banjir) lebih awal," katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Terdahulu, Ahmad merasmikan Pelancaran Skuad Sukarelawan Mesra Negeri Kelantan dan Pusat Aktiviti Sukarelawan V@C Kelantan.
Turut diadakan pelepasan Kembara Prihatin Negara Peringkat Negeri Kelantan dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Ahmad memaklumkan kerajaan negeri masih dalam proses menilai jumlah peruntukan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini memandangkan musim tengkujuh belum berakhir.
Namun katanya, kerajaan negeri melalui wakil rakyat tetap menyediakan peruntukan di bawah Tabung Bencana dan Tabung Serambi Mekah.
“Biasanya wakil rakyat akan guna tabung mereka dahulu dan kemudiannya membuat tuntutan kepada Tabung Bencana atau Tabung Serambi Mekah.
“Sekarang ini kita telah pun memberitahu wakil-wakil rakyat kita, mereka dahulukan dan mereka buat tuntutan, memang macam itulah kebiasaannya. Memang asasnya kita sediakan RM50,000.
“Selepas monsun biasanya kita akan buat penilaian melibatkan kerugian-kerugian oleh petani dan sebagainya,” katanya.
Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Cuma keadaan dalam bilik agak sesak mungkin (selepas ini) dapat bilik yang lebih luas sedikit. Musim Covid-19 ini semuanya patuh SOP, apa yang disediakan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun baik, tiada apa-apa masalah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!