Kantoi seludup pakaian
RANTAU PANJANG - Taktik menyeludup pakaian menggunakan modus operandi 'berselindung' di sebalik barang yang telah diisytiharkan gagal apabila tindakan itu berjaya di hidu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan.
Pada Rabu, pasukan itu merampas baju t-shirt dan pelbagai jenis pakaian wanita berjumlah RM312,255 selepas menahan sebuah lori di Jalan Banggol Kulim.
Lori yang membawa pakaian itu ditahan anggota PGA pada jam 5 petang bersama pemandu berusia 55 tahun.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya turut merampas satu unit mesin pengisar yang turut dimuatkan bersama guni-guni pakaian itu.
"Kes ini kita siasat bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
"Siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan pemilik mengambil kesempatan menyeludup (barang kes yang tidak diisytihar) dengan menyembunyikannya di sebalik barang yang telah diisytiharkan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurutnya, kejayaan rampasan itu hasil maklumat orang awam berhubung aktiviti tersebut.
Katanya, sejurus menerima maklumat sepasukan anggota telah bertindak mengekori lori tersebut sejurus ia keluar dari Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Setiba di Jalan Banggol Kulim, anggota PGA telah bertindak menahan lori tersebut untuk pemeriksaan lanjut dan telah menemui beberapa bungkusan berisi pelbagai jenis pakaian.
"Setelah diperiksa dokumen yang dikemukakan dengan kuantiti guni berisi pakaian tersebut meragukan," katanya.
Azhari berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk barangan dan lori dianggarkan berjumlah RM 463,455.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!