Waspada sindiket penipuan, 'ejen' i-Sinar

KWSP
KWSP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menyarankan agar masyarakat yang memohon untuk kemudahan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berwaspada terhadap sindiket penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket itu mungkin menggunakan taktik kononnya dapat membantu untuk mendapatkan kelulusan permohonan berkenaan.

"Saya menggesa orang ramai jangan mempercayai individu yang mungkin akan bertindak sebagai ejen yang dapat membantu untuk mendapatkan kelulusan i-Sinar," katanya dalam wawancara khas di Ibu Pejabat JSJK di sini pada Khamis.

Zainuddin berkata, masyarakat tidak seharusnya bergantung kepada pihak ketiga untuk urusan permohonan tersebut.

"Mereka perlu berurusan secara terus dengan pihak KWSP. Setakat ini belum ada lagi laporan berkaitan cubaan penipuan sebegitu," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak polis percaya pelbagai cara akan digunakan sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa.

"Jadi jangan bagi mereka peluang untuk menipu anda," katanya.

Dalam pada itu, Zainuddin turut menasihatkan masyarakat agar tidak menggunakan duit simpanan KWSP itu untuk pelaburan yang tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat boleh mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti Semak Mule, Senarai Amaran Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk melabur," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim menasihatkan pemohon i-Sinar KWSP agar tidak mudah terpedaya dengan taktik golongan sindiket yang menipu mangsa dengan menawarkan pelbagai ganjaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemohon i-Sinar dibimbangi jadi sasaran sindiket penipuan

Menurutnya, pemohon i-Sinar KWSP berkemungkinan besar akan dijadikan sebagai sasaran baharu kepada kumpulan penjenayah terbabit.

"Organisasi sindiket terbabit beroperasi dengan menipu mangsa agar mereka melakukan transaksi wang kepada akaun sindiket berkenaan.

“Scammer akan menawarkan bermacam-macam kepada masyarakat yang mengeluarkan duit ini supaya menggandakan kewangan mereka. Macam-macam tawaran akan diberikan," katanya.

Permohonan i-Sinar KWSP mula dibuka secara dalam talian dengan melibatkan dua kategori kriteria kelayakan pemohon membabitkan lapan juta ahli.

Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!