Berdosa jual air Milo tukar serbuk coklat: Mufti

No Image Caption
A
A
A

HUKUM perbuatan menukarkan serbuk milo dengan serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pelanggan adalah dilarang dan berdosa.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini kerana terdapat unsur penindasan dan kezaliman terhadap hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli sebagai imbalan kepada harga pembelian yang dibayar.

Menurutnya, syarat sah jual beli juga ialah, kedua-dua pihak, penjual dan pembeli, mengetahui secara jelas barang yang diniagakan tanpa menyembunyikan apa-apa aib yang ada pada barangan diniagakan itu.

“Justeru, sekiranya perkara-perkara seperti di atas berlaku, maka penjual dikira telah menipu dan akad pembelian tersebut adalah tidak sah.

“Kami cadangkan kepada pengusaha kedai kopi supaya sentiasa bertekad untuk meraih keberkatan dalam mendapat rezeki sebagaimana yang selalu kita doakan ketika membaca doa Qunut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan berkenaan tindakan pemilik sebuah kedai makan yang menukarkan serbuk Milo dengan serbuk coklat yang lebih murah harganya dalam meningkatkan keuntungan.

Katanya, konsep keuntungan dalam Islam bukanlah diperolehi dengan cara menipu atau muslihat, tetapi dengan cara reda-meredai.

“Sekiranya, jual beli berlaku dengan cara yang tidak betul (menipu dan sebagainya), sudah pasti pembeli tidak lagi mahu mengulangi muamalah jual beli dengan penjual yang sama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, muamalah jual beli di dalam agama Islam adalah harus dan dibolehkan malah Islam juga tidak melarang umatnya untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dalam setiap jual beli yang dijalankan.

Namun begitu beliau berkata, Islam meletakkan garis panduan yang jelas agar muamalah yang dijalankan selari dengan kerangka syariat yang ditetapkan.

“Perbuatan menukarkan serbuk milo kepada serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pembeli bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi adalah dikira sebagai menipu dan curang dalam perniagaan.

“Syarat sah jual beli juga menetapkan bahawa penjual dan pembeli mengetahui dengan jelas barang yang diniagakan. (Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, 6/13),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!