Covid-19: Hargai masa di rumah bersama keluarga
KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menasihatkan seluruh masyarakat untuk menghargai masa yang diperuntukkan sewaktu berada di rumah dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, adalah menjadi tanggungjawab keluarga itu sendiri untuk menjaga hubungan dalam institusi kekeluargaan, walaupun mengakui tekanan hidup tetap berlaku.
“Kita perlu jaga keluarga kita. Suasana sekarang ini, kita tidak mahu berlaku perkara tidak diingini seperti keganasan rumahtangga, penderaan mental atau apa-apa isu yang boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan.
"Sebagai ahli keluarga, sepatutnya ruang ini digunakan sebaik mungkin dan ambillah peluang yang ada ini untuk merapatkan kembali hubungan silaturahim antara kita dan keluarga," katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Terdahulu, Siti Zailah hadir pada Majlis Pelancaran Skuad Sukarelawan Mesra Negeri Kelantan dan Pusat Aktiviti Sukarelawan V@C Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.
Turut diadakan pelepasan Kembara Prihatin Negara Peringkat Negeri Kelantan yang juga dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, jika berlaku sebarang isu penderaan fizikal dan mental di negara ini, setiap individu seharusnya bertanggungjawab menyalurkan maklumat mengenai kes tersebut kepada agensi yang terlibat.
"Sekiranya ada jiran-jiran kita yang mengadu didera dan sebagainya, boleh terus laporkan kepada pihak kami melalui talian kasih 15999 atau talian WhatsApp iaitu 019-2615999.
“Langkah ini penting bagi memastikan supaya kita dapat salur maklumat kepada pegawai dan agensi bertanggungjawab, seterusnya dapat melindungi mangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!