Warga emas mengaku tak bersalah 48 tuduhan menipu
PASIR MAS - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas 48 dakwaan menipu pelaburan getah dan balak membabitkan nilai berjumlah RM841,758.
Tertuduh, Che Hasan Che Ismail, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Pendaftar Mahkamah, Rozaidi Yaacob.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Jusoh Awang Samah, 82, dengan memperdaya mangsa supaya mempercayai wujudnya projek getah dan balak hingga dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai secara beransur-ansur sebanyak 48 kali yang membabitkan nilai keseluruhannya berjumlah RM841,758.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Lubok Jong, Pasir Mas antara 21 Mei 2010 sehingga 27 Disember 2012.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hakimi Abd Hadi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM160,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh gagal melunaskan bayaran tersebut.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Januari tahun hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!