Semua kemelut PH akan dibincang secara bersama: Anwar

Anwar selepas mengadakan pertemuan bersama Malis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah di Alor Setar pada Khamis.
Anwar selepas mengadakan pertemuan bersama Malis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Semua perkara berbangkit yang tercetus dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berhubung mengukuhkan blok pembangkang bersama PH Plus akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pemimpin iaitu Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menjelaskan pendirian mereka, manakala inti pati berhubung perkara itu akan dibincang secara bersama dalam masa terdekat.

Beliau berkata, PH tiada masalah dengan pendirian yang dibuat Amanah dan DAP namun perinciannya akan diputuskan bersama bawah PH.

“Mereka sudah jelaskan kepada saya, kita bawa dalam mesyuarat. Tiada masalah yang timbul, kita tetap ‘move on’ (teruskan). Tambahan pula, Lim Kit Siang (Penasihat DAP) sendiri sudah bagi penjelasan kepada saya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Malis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah pada Khamis.

Khamis lalu, Mohamad dan Guan Eng dalam satu kenyataan bersama menegaskan, sudah tiba masanya pembangkang bersatu membina kekuatan bersama selain mengetepikan bebanan lampau bagi membentuk PH Plus sebagai pakatan lebih mantap.

Mereka menegaskan, undian Belanjawan 2021 lalu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang selain tidak perlu membuang masa dengan ahli Parlimen kerajaan yang oportunis untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum itu, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan supaya parti pembangkang membentuk gabungan besar.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, keutamaan kini adalah untuk mengukuhkan PH.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, katanya, mengundang parti lain untuk bersama mengukuhkan blok pembangkang.

“Kita PH, namun kita boleh undang parti lain untuk bersama. Perkara ini juga akan kita bincang dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin kerajaan PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu ditumbangkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya harap kerajaan PN dapat ditumbangkan segera. Kita hendaklah belajar daripada pengalaman sebagai pembangkang dan kaji kelemahan ketika kita dalam PH apabila tak dapat melaksanakan agenda seperti menolak rasuah dan membela nasib rakyat,” katanya.

Mengulas ura-ura keperluan untuk menukar Ketua Pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar berkata, setakat ini belum ada cadangan dikemukakan oleh pemimpin Amanah, DAP mahupun PKR berhubung rasional berbuat demikian.

“Tiada rakan dalam PH yang cadangkan untuk perubahan kepimpinan. (Jika ada) perkara itu pun kita boleh bincang dalam mesyuarat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Whip Warisan, Datuk Rozman Isli menegaskan wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan anggotanya terhadap kepimpinan dan hala tuju blok pembangkang dipimpin Anwar dan mahu ia dinilai semula.

Rozman bagaimanapun enggan menamakan individu yang layak menggantikan Anwar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!