Ku Li 'malu' UMNO sertai Majlis Presiden PN
KAJANG - Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa 'malu' dengan keputusan 'aneh' Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).
Tengku Razaleigh atau Ku Li yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang berkata, UMNO bukanlah ahli PN.
“Sebab dia bersetuju untuk menjadi ahli Majlis Presiden PN, saya merasa sedikit malu atau memandang (keputusan itu) sebagai agak aneh untuk dia menerima (menjadi ahli) di dalam Majlis Presiden (itu).
"Sebab UMNO bukan ahli PN. Dari mana datangnya UMNO? UMNO tak ada langsung (dalam hal ini),” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara 'Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia: Kemana Kita' di Pejabat Sekretariat Majlis Profesor Negara (MPN) di sini pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai langkah UMNO seterusnya selepas kerajaan PN menang undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat dan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata, hanya Ahmad Zahid mempunyai jawapan berkenaan.
“Saya tak tahu (langkah UMNO seterusnya). Saya rasa awak (pemberita) perlu tanya Ahmad Zahid sebagai Presiden (UMNO) memberikan jawapan yang lebih jelas tentang soalan ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Perikatan Nasional tubuh Majlis Presiden
Tubuh Majlis Presiden Kerajaan PN bukti keterbukaan Muhyiddin
Majlis presiden platform terbaik PN hadapi PRU15: Hadi
Terdahulu, pada sesi bual bicara itu, Ku Li berkata, beliau keliru dengan perkembangan politik tanah air yang menyaksikan wujudnya pelbagai gabungan seperti Muafakat Nasional dan PN.
Beliau berkata, semua pihak tidak boleh menyamakan Barisan Nasional (BN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Bersatu wujud hasil dari 'mencuri' orang UMNO.
"Yang mana tindakan itu tidak boleh diampunkan sama sekali dan dari segi moral perkembangan itu juga sudah tidak betul. Kekuatan mereka adalah daripada pencurian. Ada menteri yang ada sekarang ini dicuri dari UMNO.
"Kalau UMNO melutut kepada dia orang tak bolehlah, di mana maruah kita,” katanya
Beliau juga berpandangan bahawa tidak kira apa sahaja cadangan pakatan politik yang mahu diwujudkan untuk menghadapi PRU, suara akar umbi dan orang ramai perlu menjadi keutamaannya.
"Ini soal pilihan raya, soal orang ramai bukan sahaja soal pimpinan parti atau siapa yang jadi 'bos' sekarang. Ia terletak pada akar umbi.
"Jadi sesiapa yang tidak mengambil kira pandangan akar umbi dan cadangan awam melibatkan orang ramai maka saya rasa terjunamlah dia," katanya.
Dalam pada itu, Ku Li turut menasihatkan UMNO supaya bertegas dalam melakukan penstrukturan politik parti itu untuk bangkit semula demi masa depan negara.
Beliau turut menyarankan agar UMNO dapat memberi peluang serta ruang kepada orang muda dalam proses untuk mengembalikan kestabilan politik serta ekonomi.
“Banyakkan penglibatan orang muda. Cuma hendak reset kena dengan tegas, tidak boleh malu alah dan mesti mementingkan depan.
"Kalau saya ada peluang, saya mahu orang muda mendapat tempat lebih baik pada masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!