Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra ikuti perkembangan Khaidir
SHAH ALAM - Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia sudah menghubungi seorang rakyat Malaysia yang terlantar selama enam bulan di Hospital St Vincent’s, Sydney.
Menurut Pemangku Pesuruhjayanya, Mohd Fareed Zakaria, Konsulat Malaysia di Sydney telah pun menghubungi Khaidir Abu Jalil mengenai situasinya yang terkini.
“Dia kini sedang menjalani rawatan pemulihan dan dijangka keluar dalam beberapa hari lagi," katanya menerusi satu emel kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Selasa, sebuah portal dari negara berkenaan, The Herald Post melaporkan seorang jurutera pembinaan dari Malaysia yang berusia 34 tahun menjadi pesakit paling sunyi tanpa pelawat sejak enam bulan lalu.
Dia dilaporkan mula sakit pada Februari lepas dan hanya mendapatkan rawatan di Hospital St Vincent’s, Sydney pada Julai lalu sebelum disahkan menghidap penyakit autoimun yang jarang berlaku dengan peluang untuk hidup pada kadar 50 peratus.
Bagaimanapun, Mohd Fareed menjelaskan bahawa laporan yang disiarkan tentang keadaan Khaidir itu tidak tepat sebaliknya lelaki itu sentiasa berhubung dengan keluarganya di Malaysia.
Justeru itu, beliau berkata, Khaidir memohon untuk tidak diganggu buat masa ini supaya dia dapat menjalani rawatan pemulihan dengan tenang.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Malaysia terlantar kesunyian di Australia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!