11 anggota Kabinet baharu Indonesia angkat sumpah
JAKARTA - Seramai 11 anggota Kabinet baharu Indonesia mengangkat sumpah di hadapan Presiden Joko Widodo atau Jokowi di Istana Merdeka di ibu negara pada Rabu.
Majlis itu menyaksikan enam menteri bersama lima timbalan dilantik dalam satu rombakan Kabinet yang bertujuan untuk menangani krisis Covid-19 yang memberi impak besar kepada negara tersebut.
Enam menteri baharu terbabit adalah Tri Rismaharini sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial, Sandiaga Uno sebagai Menteri Ekonomi Kreatif dan Pelancongan, Budi Gunadi sebagai Menteri Kesihatan, Yaqut Cholil Qoumas sebagai Menteri Hal Ehwal Agama, Sakti Wahyu Trenggono sebagai Menteri Hal Ehwal Perikanan dan Maritim serta Muhammad Lutfi sebagai Menteri Perdagangan.
Difahamkan, Tri dipilih untuk menggantikan Juliari Batubara yang menyerah diri kepada Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) yang didakwa menerima rasuah berhubung bantuan Covid-19.
Sakti pula dilantik untuk menggantikan Edhy Prabowo yang meletak jawatan selepas beliau ditahan KPK atas tuduhan rasuah berkaitan eksport larva udang karang secara haram.
Jokowi turut melantik Dr Dante Saksono Harbuwono yang merupakan seorang ahli endokrinologi sebagai Timbalan Menteri Kesihatan yang diberi tanggungjawab besar untuk mempercepatkan pengeluaran perbelanjaan kesihatan secara efektif dan efisien untuk mengatasi pandemik Covid-19 serta melaksanakan program vaksinasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!