Serangan siber mewarnai 2020

A
A
A

ENAM hari lagi tahun 2020 akan melabuhkan tirainya. Angka 2020 pasti jadi kenangan kepada semua penduduk dunia. Pandemik Covid-19 yang melanda dunia menyebabkan pelbagai norma baharu. Antaranya work-from-home (WFH). Penulis sebenarnya telah lama mendengar cerita tentang WFH.

Sahabat lama penulis seorang wartawan kanan di sebuah media raksasa di Malaysia sering bercerita tentang pengalamannya membuat berita dan menghantar gambar di serata ceruk. Dalam istilah komunikasi ia disebut commuting. Maknanya, wartawan bekerja di mana sahaja dan pada bila-bila masa diperlukan.

Jadi sebenarnya, istilah WFH yang dahulunya hanya berkisar dalam kalangan pengamal media kini menjadi kelaziman kepada penduduk dunia.

Penulis juga pernah menulis tentang WFH dan keberadaan di pejabat. Sudah semestinya apabila WFH terjadi, maka keberadaan fizikal di pejabat sudah lagi tiada.

Di sinilah, pengurusan harus bijak mencanai istilah keberadaan bagi memastikan hubungan antara ketua pejabat dan anak buah kekal harmoni.

Serangan siber juga dikatakan bakal melumpuhkan banyak perkara. Antaranya rancangan serangan siber kepada temasya Sukan Olimpik 2020 yang akan diadakan di Tokyo, Jepun pada Ogos tahun depan.

Menyedari rancangan jahat itu, Tokyo telah menyediakan peruntukan besar bagi menghalang konspirasi serangan merosakkan temasya sukan terbesar di dunia itu.

Serangan siber turut mendominasi berita sepanjang 2020. Terbaharu, serangan siber yang dikaitkan dengan pengganas Rusia. Ada juga yang mengaitkan pengganas China turut terlibat dalam konspirasi serangan siber.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini, penulis banyak menulis artikel tentang serangan siber. Ternyata, serangan siber ialah masalah yang mesti diakui dan dikendalikan secara serius oleh semua negara di dunia.

Tidak terkecuali Amerika Syarikat yang mengakui rumitnya masalah serangan siber. Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo turut membayangkan Rusia ialah tulang belakang kepada semua serangan siber terhadap beberapa agensi negara itu.

Pompeo mendedahkan penyangak siber itu menggunakan perisian pihak ketiga yang mampu menceroboh dan memasuki pertahanan kod tulang belakang sistem pemerintahan AS yang dikatakan kerentanan tidak dapat ditanggung sistem keselamatan siber tertinggi.

Sepanjang tahun ini juga berita tentang scammer banyak mendominasi media massa. Rakyat Malaysia antara mudah terjebak dengan tipu muslihat scammer. Ada yang terjebak menerusi iklan palsu di Facebook atau WhatsApp sehingga menjadi keldai wang.

Tahun ini juga menyaksikan banyak berlakunya outage sehingga ada individu yang sukar untuk menerima dan menghantar e-mel. Microsoft beberapa hari lalu turut melaporkan 40 peratus pelanggan mereka terkena malware gara-gara penggodam yang ada kaitan dengan pemerintah Rusia.

Sebelum itu, PremierLeague-News.Com melaporkan ratusan juta orang di seluruh dunia mengalami kekacauan sehari pada minggu tersebut apabila keseluruhan aplikasi Google crashed lebih satu jam.

Malah, kelab terkemuka di dunia, Manchester United tidak terkecuali daripada diserang oleh penyangak siber sehari sebelum perlawanan menentang West Bromwich Albion (WBA).

Segala musibah berlaku berpunca daripada kejahatan manusia ini telah dijelaskan ALLAH SWT dalam Surah Ar-Ruum ayat 41 bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya ALLAH merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Penulis mendapati serangan siber berbahaya kerana ia mampu disasarkan ke lokasi data yang disasarkan. Serangan siber merentas sistem komputer individu dan perniagaan. Penulis berharap agensi yang bertanggungjawab terhadap komunikasi canggih sentiasa bersiap sedia kerana penyangak siber ini mampu melakukan banyak kerosakan.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Pusat Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!