Apa cerita feri ikonik Pulau Pinang?

Status perkhidmatan feri masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.
Status perkhidmatan feri masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.
A
A
A

SEJAK minggu lalu, riuh sana sini bercakap mengenai perkhidmatan feri Pulau Pinang akan dihentikan. Rata-rata tidak bersetuju kerana ia merupakan ikonik kepada negeri itu sejak 126 tahun lalu.

Sebut saja Pulau Pinang, mesti terbayang feri dan nasi kandar. Dua perkara ini sangat sinonim dengan negeri di utara tanah air itu.

Perkhidmatan feri merupakan satu alternatif pengangkutan yang digunakan pengunjung dan penduduk Pulau Pinang untuk berulang alik dari kawasan pulau ke seberang, selain dua jambatan iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Namun, dengan pengumuman yang dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng pada 15 Disember lalu membuatkan ramai tidak senang duduk.

Manakan tidak, Teik Cheng mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari depan dan feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal.

Alasan feri ikonik Pulau Pinang akan dimansuhkan adalah kerana kos membaiki sebuah feri mencecah sehingga RM2.2 juta setahun selain sukar untuk mendapatkan alat ganti kerana perlu diimport dari Jerman dan Sweeden.

Susulan pengumuman tersebut, banyak pihak mula tampil untuk mempertahankan agar perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang dikekalkan kerana nilai sentimentalnya sangat tinggi kepada bukan sahaja penduduk Pulau Pinang malah semua rakyat Malaysia.

Antaranya, Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang yang meminta kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula cadangan menggantikan feri ikonik dengan bot katamaran.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga membangkitkan isu feri pada sesi perbahasan rang undang-undang di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Pengumuman

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, perkhidmatan feri perlu dikekalkan kerana ia merupakan perkhidmatan asas Pulau Pinang sejak 126 tahun lalu selain bagi memberi peluang kepada generasi akan datang untuk merasai pengalaman menaiki feri.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mengekalkan perkhidmatan feri adalah keputusan yang tepat.

Dalam kekalutan mengenai status feri, Tengku Zafrul mengumumkan, perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan mengikut syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat pada 17 Disember lalu.

Pengumuman tersebut disambut baik Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengalu-alukan keputusan kerajaan Pusat itu.

Kon Yeow berkata, beliau berharap perkara itu akan menjadi realiti dan perkhidmatan feri yang menjadi warisan di negeri ini sejak 126 tahun lalu akan terus beroperasi.

Tambah Kon Yeow, keputusan mengekalkan feri sedia ada selari dengan pendirian kerajaan negeri ini serta penduduk Pulau Pinang untuk terus beroperasi.

Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, PPSB dan SPPP masih membisu tanpa mengeluarkan kenyataan balas berhubung pengumuman Tengku Zafrul.

Persoalannya, apakah keputusan yang akan dimuktamadkan, iaitu sama ada perkhidmatan feri ikonik akan dikekalkan atau digantikan dengan katamaran seperti yang diumumkan SPPP dan PPSB pada 15 Disember lalu?

Semalam pula, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk memodenkan perhidmatan feri Pulau Pinang demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

Apakah ini bermakna perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang benar-benar akan ditamatkan? Segalanya mungkin terjawab selepas melihat apa yang akan berlaku pada 1 Januari depan.

* Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian Edisi Pulau Pinang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!