Gadis bawah umur terancam
TIGA hari lalu, kita dikejutkan dengan pengakuan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang mengaku salah merogol gadis bawah umur sehingga melahirkan anak pada Julai lalu.
Tertuduh mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak lapan kali ketika mangsa berusia 14 tahun pada tahun lalu.
Pengakuan yang dibuat di Mahkamah Majistret Kulim itu adalah antara beberapa kes rogol remaja bawah umur yang dilaporkan berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini.
Dianggarkan, lebih kurang enam kes rogol gadis bawah umur dilaporkan oleh media berlaku di seluruh negara antara Jun hingga Disember 2020.
Ironinya, rata-rata mangsa mengenali pelaku dan mengaku sedang berkasihan. Namun, perlakuan mereka itu disabitkan sebagai kesalahan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana masing-masing bawah umur.
Melihat pada angka dan fakta kes, jelas sekali gadis bawah umur di negara kita berada dalam keadaan tidak selamat dan memerlukan pemantauan ketat daripada ibu bapa dan penjaga masing-masing.
Malah, komuniti setempat juga digalakkan campur tangan bagi membendung masalah berkenaan daripada terus berkembang dan menjadi satu normal baharu dalam era serba moden ini.
Jika perkara tersebut diabaikan dan dipandang ringan, tidak mustahil lebih ramai lagi gadis bawah umur akan menjadi mangsa rogol pada masa akan datang, walhal mereka itu sepatutnya fokus kepada pelajaran untuk masa depan yang lebih baik.
Lebih malang, perkara tersebut hanya diketahui apabila mangsa hamil atau keguguran. Kalau tidak, ia akan terus menjadi rahsia antara pelaku dan mangsa yang didiamkan sampai bila-bila atas nama cinta.
Tengok sahaja apa yang berlaku di Filipina. Data dikeluarkan oleh negara berkenaan mendapati, kes rogol gadis bawah umur dilaporkan berlaku setiap jam.
Namun, perkara tersebut tidak dibawa ke muka pengadilan kerana negara tersebut membenarkan lelaki melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak seawal usia 12 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!