Jenazah bekas Speaker DUN Johor selamat dikebumi
JOHOR BAHRU - Jenazah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz, yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang dan sakit tua malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini kira-kira 10 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu kira-kira 9.40 pagi selepas selesai disolatkan di kediaman Allahyarham di Taman Nong Chik di sini, dengan diimamkan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Noh Gadut.
Bacaan talkin dipimpin Imam Besar Negeri Johor Makhadzir Abdan Al-Hafiz dan antara kenamaan yang hadir di tanah perkuburan tersebut ialah Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.
Mohamad, 80, yang menjadi Speaker DUN Johor dari 2013 hingga 2018 dan pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani serta Ahli Parlimen Sri Gading dari 1986 hingga 2013, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 9.50 malam tadi.
Beliau juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Johor serta memegang portfolio Pengerusi Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat manakala dalam bidang politik, pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap UMNO sejak 2008 hingga 2018 selain menjadi Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Abdul Shukur ketika ditemui pemberita berkata Allahyarham bapanya kurang selera makan sejak dua hari lepas, selepas lima hari menjalani rawatan di HSI akibat masalah buah pinggang yang dialaminya.
Abdul Shukur yang mewakili seluruh anggota keluarga memohon maaf kepada semua pihak sekiranya Allahyarham Mohamad ada membuat kesilapan sepanjang hayatnya khususnya sejak berkecimpung dalam arena politik tanah air.
“Terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan arwah abah saya. Mungkin dia (Mohamad) ada salah silap sama ada sengaja atau tidak, biasalah orang politik ini kadang-kadang bahasa dia (agak kasar), walhal kadang-kadang dia bergurau sahaja.
“Abah saya di luar (rumah) dilihat sebagai garang, ada yang gelar dia ‘Singa Selatan’...tetapi sebenarnya dia seorang abah yang paling ‘sporting’...apa yang anda lihat di luar, tidak sama seperti beliau di dalam rumah,” katanya menambah Allahyarham Mohamad pernah membuat pembedahan pintasan jantung, di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, pada awal 2018.
Hasni pula menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat Johor dan negara atas pelbagai sumbangan beliau termasuk menyatupadukan orang Melayu di Johor apabila berhadapan isu yang mencabar.
“Di akhir hayat beliau, Allahyarham banyak meluangkan masa dengan keluarga dan sahabat malah di saat akhir, beliau masih memikirkan masa depan anak bangsa. Ini contoh seorang pemimpin berjiwa besar,” katanya.
Bekas Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Naim Nasir pula menyifatkan beliau kehilangan seorang ‘abang’ yang banyak membimbingnya sejak mengenali Allahyarham pada sekitar tahun 80-an.
“Salah satu yang saya perhatikan...Allahyarham sentiasa menjaga silaturahim. Sebab itu, kalau kita lihat kejayaan dia, dia berjaya sampai peringkat negara...sehingga menjadi Timbalan Speaker UMNO. Tidak semudah itu untuk mencapai tahap tersebut. Ini apa yang saya nampak dan saya banyak belajar daripada beliau,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!