Amaran cuaca waspada di Sabah, Labuan hingga Ahad
KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Jumaat mengeluarkan amaran cuaca waspada (peringkat kuning) dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah dan Labuan bermula esok sehingga Ahad (27 Disember).
Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon dalam kenyataan pada Jumaat berkata, amaran itu antaranya melibatkan kawasan Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) esok.
Kenyataan itu turut menyatakan hujan lebat dijangka berlaku di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Kudat serta Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula esok hingga Ahad ini.
“Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km sejam, dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Sabah dan Labuan dalam tempoh tersebut.
“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!