PKPD di asrama pekerja Westlite, Taman Tampoi Jaya bermula esok
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru bermula esok hingga 8 Jan depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu susulan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) di asrama pekerja itu.
“Hasil saringan dalam masa tiga hari iaitu 21 hingga 23 Disember lalu, KKM mendapati seramai 115 daripada 3,116 penghuni di asrama tersebut positif Covid-19 dan kesemua penghuninya adalah pekerja warga asing.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di asrama pekerja itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.
Ismail Sabri berkata, PKPD itu melibatkan 231 unit rumah dengan penghuni berjumlah 3,116 orang.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, polis menahan seramai 246 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP pada Khamis dengan 236 daripadanya dikenakan kompaun manakala 10 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan seramai 91 individu; gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (84); tidak memakai pelitup muka (44); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (23) dan lain-lain (4),” katanya.
Bagi Operasi Benteng bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang tanpa izin, beliau berkata seramai 76 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan pada Khamis manakala lapan kenderaan darat dirampas.
Selain itu, sejak 24 Julai hingga 24 Disember, seramai 91,791 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa negara dengan 7,023 daripadanya masih menjalani proses kuarantin wajib, 535 dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 84,233 orang dibenarkan pulang. - Bernama
Maklumat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 25 Disember 2020 oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pic.twitter.com/J6toANkZrV
— SinarOnline (@SinarOnline) December 25, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!