Aliran trafik perlahan arah utara, selatan petang ini
KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dari ibu kota menuju ke utara dan selatan bergerak perlahan petang ini berikutan orang ramai masih membuat perjalanan bersempena cuti Hari Krismas.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, setakat jam 5 petang ini, trafik perlahan dari Ipoh ke Terowong Menora di Perak dan Bukit Tambun ke Juru di Pulau Pinang.
"Trafik turut perlahan di Slim River ke Sungkai dan Bidor ke Gopeng (di Perak) berikutan pertambahan kenderaan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik perlahan arah selatan membabitkan Port Dickson ke Senawang dan Senawang menuju ke Pedas Linggi.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh dengan menghubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!