Majukan negara berteknologi tinggi
KITA masih terkesan dengan kisah Mak Cik Kiah yang menjadi sebutan ramai ketika pengumuman bantuan mendepani cabaran pandemik. Analogi kisah tersebut tentunya menyamai keadaan hidup sebenar pelbagai lapisan masyarakat di dalam negara kita.
Sehingga kini, bantuan kewangan telah disalurkan secara terus bagi meringankan beban keluarga seumpamanya. Namun begitu, strategi yang lebih komprehensif perlu dijayakan bagi membantu menaikkan taraf hidup masyarakat kita dengan lebih tersusun.
Antaranya dengan mengupayakan sumbangan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang dapat memberikan impak terhadap kesejahteraan sosial dan kemakmuran bersama. Inilah intipati kepada Dasar Sains, Teknologi, Inovasi (DSTIN) 2021-2030 yang baru dilancarkan.
DSTIN mempunyai sejumlah enam teras, 20 strategi dan 46 inisiatif yang berupaya memacu pembangunan negara berteraskan teknologi tinggi. Ini bermakna fokus kepada pembangunan dan pengaplikasian teknologi dalam pelbagai bidang akan diutamakan bagi lonjakan kemajuan negara kita yang seterusnya.
Misalnya, kecekapan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknologi Industri 4.0 seperti digital dan automasi. Hasilnya, industri PKS negara dapat berkembang dengan keberkesanan kos bersama peningkatan produktiviti, serta membantu daya saing pengusaha IKS.
Lebih daripada itu, DSTIN bukan sekadar menggagaskan teras peningkatan pembangunan teknologi. Teknologi tersebut mesti dibangunkan oleh kepakaran tempatan. Dengan harapan, kita juga dapat mengelakkan pergantungan kepada pemindahan teknologi daripada pihak luar.
Bagi mencapai hasrat tersebut, beberapa intervensi STI yang praktikal telah dicadangkan. Ini termasuklah meningkatkan komersialisasi hasil penyelidikan tempatan dengan penambahan peruntukan geran penyelidikan berbentuk pembangunan eksperimental. Selain itu, program lonjakan bagi merancakkan lagi ekosistem galakan STI negara telah diperkenalkan seperti pembangunan pemacu komersialisasi teknologi (Technology Commercialisation Accelerator) dan National Technology & Innovation Sandbox.
Menariknya buat pertama kali, pemadanan STI dengan bidang ekonomi telah dilaksanakan melalui penjajaran Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi STIE. Secara khusus, 10 pemacu sains dan teknologi negara telah dikenalpasti merangkumi 5G/6G, teknologi sensor, percetakan 4D/5D, bahan termaju, sistem kecerdasan termaju, keselamatan siber dan enkripsi, augmentasi analitik dan penerokaan data, sistem blok rantai, teknologi neuro dan teknologi biosains.
Melalui kerangka MySTIE, 10 pemacu tersebut telah dipadankan dengan 10 pemacu sosiekonomi negara yang merangkumi sektor tenaga, perkhidmatan perniagaan dan kewangan, kebudayaan, kesenian dan pelancongan, perubatan dan penjagaan kesihatan, teknologi dan sistem pintar, bandar pintar dan pengangkutan, air dan makanan, pertanian dan perhutanan, pendidikan serta alam sekitar dan biodiversiti.
Inisiatif ini diperkenalkan pada masa yang tepat bagi melaksanakan pendekatan yang lebih terangkum dan saling melengkapi bagi penghasilan impak STI yang lebih tinggi. Malah, penjajaran pemacu 10-10 ini dapat menyelesaikan pemasalahan ketidaksepadanan antara kluster penyelidikan dan pembangunan teknologi serta tujahan sosioekonomi negara sepertimana laporan Science Outlook Akademi Sains Malaysia.
Harus diingat, pelaksanaannya tetap memerlukan sinergi antara pelbagai kementerian kerajaan serta kolaborasi bersama industri, akademia dan masyarakat. Dengan itu, tanggungjawab mengarus perdanakan STI secara bersepadu telah dijadikan salah satu teras DSTIN menerusi keutamaan terhadap tadbir urus STI yang responsif.
Misalnya, sasaran penggubalan peruntukan perundangan melalui Akta STI membolehkan tadbir urus seperti rangka kerja institusi, infrastruktur serta pengurusan dana dapat dikawal selia dengan bersistematik. Melalui perundangan juga, perancangan dan pelaksanaan strategi STI menjadi lebih efektif dan terangkum termasuk melibatkan komitmen belanjawan jangka masa panjang.
Selain itu, hasrat pembangunan dan penggunaan teknologi tempatan tetap memerlukan sokongan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Justeru, DSTIN telah menggariskan teras pemerkasaan kumpulan bakat yang kompeten dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang pantas bagi menggalakkan penciptaan produk atau teknologi baharu.
Dalam langkah ke hadapan, empat langkah strategik pembangunan bakat telah digariskan yang tentunya memerlukan pelaburan yang berterusan. Pertama, menyediakan perancangan bersepadu pembangunan bakat bermula daripada pendidikan awal sehingga ke peringkat kerjaya. Kedua, mengukuhkan program pendidikan STEM seperti melalui penggunaan modul pembelajaran yang transdisiplin berbentuk praktis.
Ketiga, meningkatkan jumlah bakat dan tenaga kerja STI dalam sektor perindustrian termasuk memberikan fokus kepada penyertaan wanita. Dalam masa yang sama, strategi keempat turut menekankan kepada peningkatan permintaan terhadap bakat STI dalam sektor pekerjaan dan industri yang memerlukan pengukuhan perkongsian sektor awam-swasta.
Visi DSTIN ke arah memajukan negara berteknologi tinggi turut memerlukan pembudayaan masyarakatnya yang mampu mengaplikasikan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian. Untuk permulaan, masyarakat kita seharusnya mempunyai literasi sains yang bermula dengan kepercayaan dan kesedaran terhadap kepentingan sains dalam menangani pelbagai aspek kehidupan dan kemanusiaan.
Sekali lagi, pembudayaan STI sehingga ke peringkat akar umbi masyarakat memerlukan tindakan bersepadu terutamanya melibatkan aspek penyelarasan, pemantauan dan pengiktirafan inisiatif secara berpusat. Malah, penggunaan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan keberkesanan komunikasi sains dan memudahkan capaian maklumat dalam kalangan masyarakat.
Tidak ketinggalan, penyelesaian terhadap cabaran pandemik semasa memperlihatkan keperluan untuk terus meningkatkan kerjasama saintifik secara global. Dengan itu, salah satu teras DSTIN turut menekankan pencapaian keunggulan global dalam STI. Antara strateginya adalah dengan mengukuhkan rangkaian kerjasama antarabangsa bagi kolaborasi penyelidikan, perkongsian strategik dan perikatan perniagaan termasuk melibatkan pelaburan berteraskan STI.
Malah, cadangan penubuhan Pusat Vaksin Kebangsaan yang menjadi salah satu program lonjakan STI turut memerlukan platform kolaborasi strategik antarabangsa. Secara terperinci, dijelaskan bahawa penubuhan pusat itu akan diperkukuhkan melalui kerjasama serantau dan global seperti melibatkan perkongsian infrastruktur dan pembangunan kepakaran bersama.
Kita harus bersetuju bahawa mana-mana inisiatif kerajaan perlu bermula dengan pembangunan dasar yang tepat bertujuan mensejahterakan kehidupan sosial dan mencapai kemakmuran bersama. Dalam konteks ini, DSTIN telah menjelaskan strategi penggunaan dan aplikasi STI untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan menangani cabaran semasa atau akan datang yang dihadapi negara.
DSTIN turut mengutamakan pendekatan terangkum untuk semua lapisan peringkat yang perlu dilakukan secara bersepadu dan bersistematik. Daripada menjangkau peringkat global sehingga melata kepada keluarga Mak Cik Kiah, manfaat STI perlu dirasai oleh semua pihak.
Yang pastinya pembangunan ekonomi negara perlu terus disepadukan dengan pembangunan kemanusiaan, peningkatan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian kehidupan. Semua ini dapat dicapai melalui pelaksanaan agenda STI yang tersusun sepertimana perancangan DSTIN yang bermula pada tahun hadapan.
*Dr. Mohd Bakri Bakar ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!