Apa azam tahun baharu?

A
A
A

APABILA kita menyebut perkataan azam, sudah tentu kita mempunyai keinginan yang kuat untuk melakukan sesuatu.

Secara umumnya kita boleh berazam setiap hari, namun jarang melakukannya kerana menunggu hari yang bermakna atau sesuai dengan kita bagi tujuan melaksanakan azam tersebut.

Justeru, ada yang berazam membuat sesuatu semasa menyambut hari lahir, hari perkahwinan, mendapat kerja yang diinginkan, sempena hari kebesaran Islam dan paling banyak melakukan azam apabila beralih ke tahun baru.

Kebanyakan memilih di hujung tahun kerana mudah untuk membuat perkiraan kejayaan dan kegagalan diri sendiri bagi tempoh setahun.

Persoalannya sejauh mana keazaman kita sebelum ini dipenuhi dan apakah jaminan untuk mencapai azam tersebut bagi tahun yang mendatang?

Sebetulnya, kita tidak akan capai semua yang dihajati kerana sifat semula jadi yang lemah dan mudah terdedah kepada sesuatu yang buruk. Selain itu, unsur jahat dan baik yang berbolak-balik di dalam diri, sentiasa cuba untuk menghalang keazaman kita.

Ada ketikanya, kita berlagak untuk memecut laju tanpa menyedari kapasiti enjinnya yang kecil. Malah ada juga yang masih perlahan-lahan membawa diri tanpa menyedari kapasiti enjinnya yang besar.

Hakikatnya, kita sentiasa dituntut untuk seimbangkan diri bagi menghadapi ketidaktentuan hidup. Ini bermakna, untuk mencapai keseimbangan diri kita perlu refleksi diri terlebih dahulu sebelum meningkatkan keazaman bagi mencapai sasaran yang ditentukan.

Artikel Berkaitan:

Menurut perspektif psikologi, refleksi diri merujuk kepada kaedah merenung nilai keupayaan dan kelemahan diri kita dari masa ke semasa.

Oleh itu, refleksi diri secara langsung membantu kita untuk mengenal pasti elemen negatif di dalam diri yang telah menghalang kemajuan kita selama ini.

Antara perkara yang boleh kita renungkan ialah, Adakah kita telah menggunakan masa kita dengan sebaiknya sebelum ini? Adakah kita selama ini jujur dengan diri sendiri? dan sejauh mana kita menyumbang kepada perhubungan yang baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan?.

Namun begitu, bukan mudah untuk melakukannya tanpa latihan yang berterusan kerana kebanyakan tabiat dan tingkah laku kita adalah berada dalam keadaan di bawah sedar.

Ini bermakna, kita seumpama berada di dalam ‘bilik kawalan’ di mana ada orang lain yang sedang mengatur dan mengarah bagaimana kita berfikir, berasa dan bertingkah laku.

Tambahan pula, dengan keupayaan seseorang untuk berfikir 50,000 perkara setiap hari di mana separuh daripadanya adalah bersifat negatif dan 90 peratus adalah mengulangi peristiwa semalam (Wood, 2013) menyebabkan kita semakin hilang fokus dan tidak berupaya untuk melihat diri kita dari dalam atau introspection.

Lantaran itu, bagi membantu perkembangan diri dengan lebih baik, kita secara sedar perlu menukar ‘semua program’ yang tidak memberi manfaat kepada kita.

Secara lebih jelas, kita perlu melihat diri kita seumpama berada di dalam cermin dan menganalisa diri secara objektif agar mampu berfikir dengan rasional, mengendalikan emosi dengan tenang serta bertindak secara berhikmah.

Usai refleksi diri, kita harus menerima segala kesalahan diri dan berusaha untuk tidak mengulangi lagi sejajar dengan firman ALLAH SWT, “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Al-Imran, 3:135).

Ingatlah, setiap pertambahan tahun bermakna kita semakin dekat menghampiri negara abadi. Cukuplah berazam untuk mengisi dunia tanpa menambah bekalan ke akhirat. Selamat tahun baru 2021.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!