Poligami untuk cegah zina?

A
A
A

SAYA ada membaca sebuah artikel yang bertajuk ‘Tidak wajar haramkan poligami dan biarkan zina’. Dan menurut artikel tersebut mengatakan, ada setengah pasangan yang rela membiarkan suami bergelumang dengan zina asalkan tidak berpoligami.

Saya sebenarnya tidak pasti akan kenyataan ada setengah pasangan yang lebih sanggup menjadikan pasangannya berzina dari berpoligami. Kalau ada memang parah akan keadaan kita kini umat Islam.

Cuma apa yang saya ingin cerita ialah persepsi saya apabila membaca tajuk dan kandungan artikel ini. Pertamanya, saya pun tidak tahu hendak menangis atau ketawa juga. Ini kerana kelihatan jelas amat teruk juga kelemahan kita umat Islam ini terutama lelaki Muslim.

Hanya kerana hendak mengelak diri dari melakukan zina maka dicadangnya berpoligami. Nafsu mengatasi segalanya galanya. Berpoligami hanya kerana berkehendak memuaskan nafsu kendiri semata-mata. Sedangkan setahu saya, yang bukan tok guru dan ulama ini, poligami ini ada tujuan dan fungsinya.

Walaupun begitu, ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Al-Quran sendiri bercerita tentang keadilan sejagat. Maka saranan dalam al-Quran pun lebih kepada akan kemampuan berlaku adil atau tidak.

Dan pada masa yang sama, berpoligami ini adalah dengan tujuan untuk membantu kaum wanita yang mungkin memerlukan tempat bergantung. Tetapi bukan kerana berpoligami untuk memuaskan nafsu serakah si suami dengan tujuan supaya tidak berzina.

Maka perempuanlah menjadi mangsa. Terpaksa pula berkorban untuk suami hanya semata-mata mencegah suami dari berzina. Lemahnya iman para laki-laki Muslim ini. Walaupun dari kecil sampai besar belajar agama, tetapi pada masa yang sama tidak dapat menahan nafsu.

Pertanyaan saya lagi yang tercetus di benak fikiran ialah, adakah boleh dijamin pula apabila telah berpoligami, tidak akan terjebak dengan zina? Pepatah Melayu lama kita ada berkata, nafsu tidak bertepi.

Artikel Berkaitan:

Sudah semestinya kaum lelaki ini perlulah mengawal nafsunya sendiri. Bak kata pepatah Melayu lagi, jangan diturutkan gatal tiba ke tulang. Lagipun pantangan penghulu menyinsingkan lengan yang bermaksud, orang yang berakal berbudi, tidak mudah terdorong dengan nafsu.

Orang yang mudah terdorong dengan nafsu ini kalau mengikut pepatah ini sebagai tidak berakal dan berbudi. Dan nampaknya orang yang menjustifikasi berpoligami ini untuk mencegah zina, lebih terdorong oleh hawa nafsu. Akal dan budi? Tuan-tuan jawablah sendiri.

Keadilan memang susah hendak dilaksanakan ketika berpoligami ini. Sebab itu saranan dalam al-Quran sendiri lebih bersifat amaran juga kepada mereka yang ingin melaksanakan poligami. Mereka yang hendak berpoligami ini disebut, hendaklah patuh dengan syarat berlaku adil. Sudah semestinya amat mustahil hendak adil jika sudah berkongsi kasih sayang isteri dan anak-anak.

Katanya Imam Khamenei, menurut al-Quran, perlu ada jaminan untuk berlaku adil terhadap pasangan. Kalau tidak boleh berlaku adil maka, lupakan sahaja. Dan lagi katanya beliau, biasanya mereka yang berkahwin ramai ini, lebih cenderung kepada merosakkan keharmonian rumah tangga dan menyebabkan perpisahan pula. Sebab itu katanya beliau, “Tuhan itu satu, cinta itu satu yang dicintai itu juga satu.”

Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmad al-Tayeb menggambarkan poligami ini sebagai ketidakadilan kepada wanita dan anak-anak. Katanya beliau lagi, mereka yang mengamalkannya ini tidak faham al-Quran dan Sunah Rasulullah. Beliau menyentuh kata kuncinya juga adalah keadilan.

Saya tidak bermaksud untuk menentang akan apa yang telah dianjurkan oleh Tuhan kepada kita umat Islam. Cuma ketika membaca tajuk ini telah terbit di fikiran saya akan betapa lemahnya kita terutama lelaki Muslim yang kelihatan, seolah-olah kehidupan bergantung kepada nafsu, sehinggakan penyelesaian kepada kelemahan untuk memperbaiki hawa nafsu seks ini adalah melampiaskan dengan seks juga.

Dan yang menjadi mangsa kaum wanita, yang digembar-gemburkan kalau tidak mengizinkan poligami, perlu menanggung dosa si suami yang berzina menurut kata beberapa orang tok guru. Tetapi kalau difikirkan akan logik akal dengan lebih mendalam, maka nampaklah kedangkalannya.

Akal adalah anugerah agung Tuhan kepada kita. Maka gunalah dengan bijaksana, jangan pula dikatakan agama tidak boleh difikirkan secara logik akal, sedangkan banyak firman Tuhan yang menyuruh kita untuk berfikir. Bak kata pepatah Melayu lama kita lagi, yang mungkin sudah difahami orang-orang yang terlebih dulu hidup daripada kita.

“Langit berkelikir, bumi bertemberang; salah-salah fikir menjadi hamba orang”.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!