'Macam tinggal dalam kandang kerbau'

Penduduk menunjukkan najis kerbau yang berlonggok di jalan utama penduduk Margosa, Bandar Seri Botani, Ipoh.
Penduduk menunjukkan najis kerbau yang berlonggok di jalan utama penduduk Margosa, Bandar Seri Botani, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Umpama duduk di dalam kandang. Itulah perasaan yang dialami lebih 100 penduduk di Jalan Margosa A/3, A/4, A/5, A/8 dan Lapangan Margosa, Bandar Seri Botani, di sini apabila lorong rumah mereka dipenuhi najis dan kencing kerbau selain menerima ancaman babi liar.

Penduduk, Paizah Parmin, 65, berkata, keadaan itu berlarutan lebih empat tahun lalu apabila haiwan itu dibiarkan berkeliaran oleh penternak yang tidak bertanggungjawab hingga mengotori jalan di hadapan rumah mereka.

"Bukan di luar sahaja pakai pelitup muka, dalam rumah pun kena pakai sebab tidak tahan bau busuk kencing dan najis kerbau yang terlampau banyak di depan rumah.

"Keadaan itu menyebabkan kami tidak lalu makan. Kadang kala kami 'tapau' dan makan di surau. Kalau sidai baju baunya melekat hinggakan kami terpaksa mendobi di luar," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Jalan Margosa A/3 dipenuhi dengan najis kerbau menyebabkan penduduk tidak selesa.
Jalan Margosa A/3 dipenuhi dengan najis kerbau menyebabkan penduduk tidak selesa.

Menurutnya, kesan longgokan najis itu menjadikan kawasan rumahnya mempunyai banyak lalat dan agas-agas yang menyebabkan kegatalan pada kulit.

"Lebih 10 ekor kerbau dibiarkan lepas di kawasan rumah kami bermula tengah malam hingga subuh. Setiap hari lorong rumah kami akan dipenuhi najis dan bau hancing.

"Kami ada jumpa lelaki yang dipercayai pekerja kandang berhampiran dan menegur supaya memelihara di kawasan lapang tetapi kami pula dimarahinya sambil beritahu bukan kepunyaannya sedangkan dia yang gembala dengan menaiki motosikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aminah Abdul Rahim, 54, berkata, longgokan itu berisiko kepada pengguna jalan hinggakan ada kejadian hampir menyebabkan kemalangan kerana mahu elak najis.

"Jangan kata penduduk tidak berusaha, kami ada bergotong-royong bersihkan jalan-jalan di lorong rumah kami ini. Dalam hujan lebat kami bersihkan. Tapi bersih petang ini, malam nanti sudah ada najis. Tidak berkesudahan.

"Belum lagi dengan babi liar, habis tong-tong sampah disondolnya. Pagar memang tidak boleh buka langsung kerana haiwan ini macam tidak takut dengan manusia, takut pula mengancam nyawa tambahan ada kanak-kanak bermain dan berbasikal waktu petang," katanya.

Kesan najis dan kencing kerbau mengotori jalan utama penduduk di Margosa dan Lapangan Margosa, Bandar Seri Botani, Ipoh.
Kesan najis dan kencing kerbau mengotori jalan utama penduduk di Margosa dan Lapangan Margosa, Bandar Seri Botani, Ipoh.

Nikman Lee, 66, pula berkata, pelbagai aduan telah dilakukan termasuk kepada Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan syarikat perumahan.

"Aduan dilakukan sejak 2016 tapi tiada tindakan yang betul-betul berkesan. Harap pihak berkuasa tempatan (PBT) ambil tindakan kepada penternak yang membiarkan ternakannya merayau. Sudah lama kami bersabar dengan keadaan begini.

"Kami turut mencadangkan agar sempadan taman perumahan yang berhampiran dengan ladang kelapa sawit ini dipagar dengan kawat berduri. Kami percaya masalah dapat diselesaikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!