Kisah tular menunggang motosikal lebih 200 kilometer dapat perhatian

Rohaizan ketika menerima bantuan segera yang disampaikan oleh pihak MUIP di Kuantan pada Jumaat.
Rohaizan ketika menerima bantuan segera yang disampaikan oleh pihak MUIP di Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN-Selepas kisah seorang isteri yang sanggup menunggang motosikal seorang diri lebih 200 kilometer (km) pada Rabu lalu demi suaminya yang kini terlantar di hospital tular, nasib wanita dan keluarga itu mendapat perhatian banyak pihak.

Rohaizan Rozama, 41, dari Kampung Kemahang, Benta di Lipis lega selepas nasib mereka sekeluarga mendapat perhatian sewajarnya.

"Syukur kerana banyak pihak telah membantu antaranya ada yang sanggup mengajak saya tinggal di rumah mereka buat sementara waktu.

"Namun saya terpaksa tolak kerana terlalu jauh ke hospital dan buat masa ini saya duduk menemani suami di hospital selain berulang alik ke rumah kawan di Tanah Putih, di sini untuk mandi dan tukar pakaian menggunakan motosikal yang ada," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunggang motosikal 200km jenguk suami di hospital

Terdahulu, Rohaizan menerima bantuan segera daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman pada Jumaat.

Kisah ibu kepada dua cahaya mata berusia tujuh dan tiga tahun itu tular selepas nekad menunggang motosikal kira-kira enam jam dari Benta ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan apabila suaminya Razali Ismail, 45, di hantar ke hospital terbabit akibat penyakit kanser perut dan otak tahap 4.

Ujar Rohaizan lagi, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini menawarkan bantuan pengangkutan untuk membawa balik motosikal dan dirinya jika perlu pulang ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Kemahang nanti.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih dan lega dengan pelbagai bantuan antaranya sumbangan wang tunai yang diberikan oleh pelbagai pihak selain orang ramai yang banyak mendoakan kesihatan suami saya dan pihak MUIP yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga.

"Saya akan gunakan sebaiknya dan berjimat cermat untuk perbelanjaan di sini selain untuk keperluan anak-anak di kampung," katanya lagi yang juga penerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Asmadi berkata, MUIP akan memberi bantuan bulanan RM500 kepada Razali iaitu suami Rohaizan.

"Kita juga akan menyediakan bantuan barangan keperluan harian bernilai RM200 sebulan bagi meringankan beban keluarga terbabit yang kini bergantung sepenuhnya pada bantuan diterima.

"Saya berharap bantuan yang diberikan MUIP memberi sinar baharu kepada keluarga asnaf terbabit terutama selepas ketua keluarga mereka mengalami masalah kesihatan serius," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!