MD Kampar tidak cetak, pos bil cukai taksiran tahun depan
KAMPAR - Majlis Daerah Kampar (MD Kampar) tidak akan mencetak dan menghantar bil cukai taksiran secara pos bagi kawasan pentadbirannya bermula tahun depan.
Yang Dipertua MD Kampar, Abdul Halim Saad berkata, warga daerah itu boleh membuat semakan dan mencetak bil cukai taksiran tahunan secara dalam talian melalui https://fpx.mdkampar.gov.my.
Menurutnya, pembayaran pula boleh dibuat melalui aplikasi perbankan internet seperti CIMB Clicks, Maybank2u, JomPay dan Snap N Pay.
"Pendekatan ini diambil sejajar dengan usaha kerajaan dalam melestarikan alam sekitar melalui pengurangan penggunaan kertas di samping keperluan terhadap sistem penyampaian diperluas dengan menyediakan aplikasi dalam talian yang lebih mudah dan cekap," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, oleh kerana pandemik Covid-19 masih aktif dan keperluan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), MD Kampar amat menggalakkan semakan dan pembayaran dibuat secara dalam talian.
Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu masih juga membuka kaunter bayaran bagi urusan tunai di kaunter bayaran dan kaunter pandu laju di Pejabat Majlis Daerah Kampar serta kaunter bayaran di Pejabat Cawangan Gopeng bersebelahan Pejabat Penghulu Mukim Teja.
"Bagi meraikan pendekatan baharu dan menghargai komitmen diberikan dalam tempoh yang mencabar ini, kita menyediakan beberapa insentif kepada yang layak antaranya kupon tempat letak kereta percuma bernilai RM12 tertakluk kepada 7,000 pembayar terawal.
"Mereka yang membayar cukai taksiran bagi tempoh setahun (termasuk tunggakan sekiranya ada) bagi tahun 2021 sebelum atau pada 28 Februari pula layak untuk menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa motosikal, basikal, barangan elektrik, telefon bimbit dan pas bulanan tempat letak kereta percuma," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!