BKK Masjid Temerloh Jaya ubah landskap perkuburan
TEMERLOH - Kalau dulunya bersemak samun kini pekarangan tanah perkuburan Kampung Tualang, di sini berubah landskap menjadi lebih tersusun, indah dan mesra pelawat.
Usaha tersebut hasil inisiatif pengurusan Masjid Temerloh Jaya menerusi Badan Khairat Kematian (BKK) masjid itu yang mula mengambil langkah tersebut sejak tahun lalu.
Pengerusi BKK masjid itu, Mohd Radzi Ismail memberitahu, selepas proses penjenamaan baharu BBK itu dilakukan pada tahun lalu, pihaknya mula mengorak pelbagai aktiviti antaranya menaik taraf tapak perkuburan tersebut.
"Kita melakukan proses naik taraf secara berperingkat sejak tahun lalu.
"Antaranya melakukan gotong-royong perdana sebelum langkah-langkah lain diambil seperti penanaman bunga, proses mengecat kepuk dengan warna putih supaya nampak seragam, melakukan penomboran di kubur supaya mudah dicari waris hingga seperti dilihat sekarang.
"Kita mengambil suasana di tanah perkuburan Raudah Sakinah di Kuala Lumpur sebagai model terbaik tapi beza di sana menggunakan khidmat konsultan berbanding kita menggunakan usaha ahli- ahli dan penduduk sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambahnya, laluan masuk di tapak perkuburan terbabit juga telah diletakkan tar berbanding berkerikil untuk keselesaan pengunjung selain bekalan lampu jalan dan air turut disediakan.
"Semua ini hasil sumbangan pelbagai pihak antaranya daripada individu prihatin selain menggunakan sedikit wang BKK sendiri dengan kos lebih RM30,000 setakat ini.
Jelasnya, inisiatif itu juga cetusan pengerusi masjid tersebut, Dr Abdullah Ismail yang mahukan persepsi negatif terhadap tanah perkuburan dikikis.
"Selalu orang anggap kawasan kubur menakutkan, ada benda halus, hantu dan macam-macam lagi.
"Jadi kita ingin ubah supaya tanah perkuburan kariah ini menjadi ceria dan mesra pengunjung," ujarnya lagi BBK masjid itu kini memiliki seramai 1,070 ahli.
Masjid Temerloh Jaya terkenal di seluruh negara dan tular berikutan sentiasa dipenuhi jemaah pada solat Subuh setiap hari sebelum pandemik Covid-19 melanda negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!