Seorang maut, enam remaja cedera kereta bertembung MPV

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.8 Jalan Seremban-Port Dickson pada Jumaat.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.8 Jalan Seremban-Port Dickson pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki maut, manakala enam remaja lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13.8 Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran simpang Kampung Batu 7, Sungai Sendayan pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, mangsa yang maut dikenali sebagai Phoon Swee Loong, 41, manakala kesemua remaja berkenaan dengan empat daripadanya cedera parah berusia 19 tahun.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu Swee Loong dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dinaiki enam remaja.

"Kereta dipandu Swee Loong dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Port Dickson dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Unser yang datang dari arah Port Dickson menghala ke Seremban," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

"Sebahagian daripada remaja berkenaan turut dibawa ke hospital sama, manakala selebihnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

"Kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan sekumpulan remaja berkenaan dalam perjalanan ke Rembau untuk mendaki gunung Datuk.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!