i-Sinar: Elok kekalkan simpanan
Di negara-negara seperti India, Jepun dan Singapura, rakyatnya masih perlu bekerja dan mencari wang demi kelangsungan hidup meskipun telah melepasi usia persaraan.
Di Malaysia, rakyat beruntung apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berfungsi sebagai entiti yang melindungi wang simpanan untuk masa depan setelah tiba waktu bersara kelak.
Ketika ini, kecoh dan heboh tentang isu berkaitan pengeluaran Akaun 1 KWSP. Ia menjadi perbualan hangat ekoran ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dikatakan tidak layak membuat pengeluaran seperti mana yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 kerana tidak memenuhi kriteria kelayakan permohonan.
Rasa kecewa dan marah terus ‘menggunung’ sehingga ramai yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka ‘peminta sedekah’ kerana terpaksa meminta-minta dan merayu untuk mendapatkan duit atau hak mereka sendiri.
Persoalannya, adakah anda benar-benar memerlukan wang berkenaan, atau sudah mula gelap mata, atau hanya kerana menginginkannya sedangkan anda tidak mempunyai sebarang keperluan mendesak.
Benar, wang yang disimpan melalui KWSP adalah milik individu tetapi wajar untuk kita fahami bahawa caruman itu untuk masa depan hari tua.
Namun di sebalik keghairahan ingin membuat pengeluaran, mungkin ada yang tidak melihat lebih jauh tentang impak jangka panjang yang mungkin berlaku sekiranya mereka membuat pengeluaran Akaun 1 KWSP tanpa perancangan teliti.
KWSP satu-satunya cara terbaik untuk seseorang itu menyimpan secara tetap, berjadual dan bersistematik. Bayangkan jika tiada KWSP, adakah kita mampu membuat tabungan secara konsisten?
Melihatkan kepada situasi yang berlaku kini, ia umpama ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Itulah ungkapan yang paling cocok untuk menggambarkan betapa sukarnya pihak kerajaan membuat pertimbangan yang terbaik dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP. Anda, bagaimana?
Pertembungan nafsu
Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dari Pusat Pengajian Kewangan dan Perbankan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin berpendapat, pertembungan antara kelangsungan hidup semasa pandemik dan kelangsungan hidup pasca persaraan menjadikan isu ini amat sukar sekali menemukan titik solusi.
“Dalam keadaan kesempitan kewangan, KWSP seperti dilihat sebagai satu-satunya talian hayat kepada para pencarum. Namun di sebalik kebenaran ini, ada dua hal yang boleh kita selusuri,” katanya.
Pertama, tidak dapat dinafikan bahawa caruman di KWSP adalah pelan persaraan dan KWSP sebagai pengurus tabungan persaraan berusaha untuk memastikan kepentingan dan kebajikan pencarum terjamin terutamanya selepas mereka bersara kelak.
Kedua, umumnya terdapat dua bentuk penggunaan ke atas pengeluaran wang KWSP iaitu mereka yang menggunakan sumber ini untuk memenuhi keperluan atau adakah mereka mahu menggunakannya untuk memenuhi kehendak.
Dalam hal ini katanya, di sinilah timbulnya pertembungan nafsu baik dan jahat. Dalam bentuk pertama, mereka mungkin agak ‘genuine’ dan betul-betul terdesak mahukan wang berkenaan.
Jadi, wang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperoleh keperluan asas termasuk hal yang berkait dengan kelangsungan hidup isi rumah seperti kos penyelenggaraan kenderaan dan hutang piutang.
Dalam bentuk kedua, corak penggunaan wang yang diperoleh seakan tidak seragam kerana ada sebahagiannya berhajat untuk melabur tetapi besar kemungkinan mereka akan mengalami kerugian jika membuat pelaburan di tempat yang salah.
“Ada juga yang berhajat untuk berniaga tetapi risiko kerugian tetap ada. Malah data sedia ada dalam kumpulan peniaga baharu memperlihatkan kadar peratusan survival yang kecil dan pelaburan yang mesti diberi keutamaan pada saat ini adalah pelaburan ilmu,” jelasnya.
Mereka yang membuat keputusan untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP mestilah merangka strategi untuk memiliki simpanan kecemasan secara berkala selepas ditolak segala perbelanjaan yang dikategorikan sebagai keperluan asas isi rumah.
Beliau tidak menolak bahawa pelaburan dalam bentuk emas, saham amanah atau hartanah adalah berbaloi tetapi usaha ini lebih baik dilakukan tanpa menggunakan wang persaraan.
Justeru, orang ramai perlu membuat pilihan yang bijak agar urusan selepas persaraan tidak diganggu-gugat dengan masalah kewangan. Jika tiada keperluan, fikirlah jika benar-benar sanggup menggadaikan masa depan anda.
Teruskan simpanan
Pandangan sama turut disuarakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nor Azira Ayob.
Caruman KWSP sangat penting untuk kelangsungan hidup selepas bersara, apatah lagi dalam keadaan ekonomi masa kini yang semakin tidak menentu serta kos sara hidup yang semakin meningkat.
Justeru katanya, simpanan itu adalah amat perlu dan tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan walaupun pada hematnya wang simpanan itu adalah hak mereka sendiri.
“Pada masa akan datang kita pasti memerlukan sumber kewangan yang mencukupi demi kelangsungan hidup yang berkualiti. Bagi yang tidak terlalu mendesak keperluan kewangan masa kini, sebaiknya teruslah mencarum dan tidak membuat pengeluaran ke tahap yang maksimum,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pencarum yang tidak menghadapi tekanan kewangan yang serius, supaya tidak membuat pengeluaran kerana terdapat pulangan balik atau dividen yang akan diberikan kepada pencarum KWSP setiap tahun.
Selepas bersara, masyarakat akan memerlukan kewangan yang lebih kukuh kerana tidak lagi mendapat bayaran gaji, maka pengeluaran simpanan Akaun 1 perlu difikirkan lebih jauh impaknya selepas duit simpanan dikeluarkan.
“Bagi pencarum yang benar-benar perlu mengeluarkan duit caruman, buatlah perancangan teliti agar ia dapat digunakan pada jalan yang betul.
“Jika ingin memulakan perniagaan, perlu lihat jenis perniagaan masa kini, jenis permintaan daripada pengguna, pelaburan yang betul-betul sah dan di bawah perlindungan kerajaan.
“Sekiranya membuat pelaburan dan mengalami kerugian, ia akan memberi kesan yang sangat besar dan menjejaskan fizikal, mental serta emosi,” tegasnya.
Kesimpulannya, jadilah pencarum yang bijak dengan memikirkan masa depan diri dan keluarga yang bakal anda tinggalkan kelak.
Tanya diri ke manakan wang simpanan hari tua itu hendak dibelanjakan. Wang yang dikeluarkan akan habis sekelip mata andai tiada perancangan khusus dilakukan.
Wang itu juga tidak akan memberi kesan positif jika digunakan hanya untuk keseronokan sementara dan berbelanja ke arah yang tidak menguntungkan. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!