Ombak tinggi, angin kencang sukarkan operasi SAR bakal pengantin
MARANG- Ketinggian ombak sehingga dua meter dan angin kencang serta keadaan pantai di lokasi yang berteluk berbahaya menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bakal pengantin yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Khairiri Mat Resad@Arshad berkata, operasi SAR pada Sabtu dimulakan jam 7 pagi dengan kekuatan seramai 63 anggota membabitkan pelbagai agensi.
Katanya, pencarian difokuskan di kawasan pesisir pantai merangkumi jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas untuk pencarian di permukaan air.
"Kita menggunakan teknik 'water search and surfing' dalam anggaran radius satu kilometer dari arah kiri dan kanan iaitu menghala Kuala Terengganu dan Dungun.
"Selain itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut melakukan rondaan di laut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Kelulut, di sini pada Sabtu.
Mohd Khairiri berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk membuat pencarian kerana keadaan ombak yang besar dan setinggi dua meter selain angin yang kencang.
"Keadaan pantai di Kelulut yang mempunyai teluk-teluk, merbahaya kepada anggota penyelamat," katanya.
Media sebelum ini melaporkan bakal pengantin dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kelulut, di sini pada Jumaat.
Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin dijadual nikah hari ini dikhuatiri lemas
Dua lelaki dikhuatiri lemas di Marang
Operasi SAR berdepan cabaran ombak kuat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!