Lima mangsa bot karam selamat
KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) semalam menyelamatkan lima mangsa bot fiber yang karam di laut kira-kira tujuh batu nautika dari Kuala Pahang.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, kesemua warga tempatan itu ditemui pada jam jam 10.40 pagi.
Beliau berkata, Maritim Malaysia menerima panggilan kira-kira jam 10.15 pagi dan ketika itu bot Kilat 49 Maritim Malaysia kebetulan sedang beroperasi di sekitar perairan Kuantan terus diarahkan ke lokasi kejadian.
"Kesemua mangsa berjaya dibawa ke Jeti Kuala Pahang dalam keadaan selamat pada jam 10.40 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tiga mangsa dikenali sebagai Mohamad Shafizal Mohd Saad, 25; Muhamad Ashraf Shahrul Azmi, 26; dan Wan Nur Azlieda Wan Mohd Zaki, 26, bekerja di sebuah syarikat dan sedang melakukan survei di dasar laut.
"Dua lagi dikenali sebagai Azmi Yahya iaitu tekong bot dan Azli Sulaiman merupakan kru bot tersebut. Kesemua mangsa ketika diselamatkan memakai jaket keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!