Ganesh mohon PPR pada Rabu lalu: Exco

Jagdeep (tengah) bersama Ganesh (kanan) dan keluarganya ditemui di unit bencana di PPR Padang Tembak pada Sabtu.
Jagdeep (tengah) bersama Ganesh (kanan) dan keluarganya ditemui di unit bencana di PPR Padang Tembak pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan menerima permohonan untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada pengawal keselamatan, S Ganesh, 34, yang tular kerana terpaksa tinggal dalam kereta adalah pada Rabu lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang telah menawarkan penempatan unit bencana selepas kejadian kebakaran, namun ditolak oleh Ganesh sendiri.

Menurutnya, Ganesh bagaimanapun hanya membuat permohonan sejak tiga hari lalu yang mana kisah hidupnya mendapat liputan media dan tular di media sosial pada Khamis.

"Kita hanya menerima permohonan Ganesh untuk menduduki rumah PPR itu pada Rabu lalu dan diluluskan sehari selepas itu. Sebelum ini, pada April lalu, ketika rumah Ganesh terbakar, JKM telah menawarkan kepada Ganesh untuk menduduki unit bencana.

"Namun saya difahamkan Ganesh telah menolak tawaran itu dan hanya memohon untuk menduduki PPR dua hari lalu," katanya selepas menyerahkan unit bencana kepada Ganesh di PPR Padang Tembak di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pada masa ini Ganesh telah menerima tawaran untuk tinggal di unit bencana yang disediakan sebelum berpindah ke unit PPR yang sedang dibaiki.

Sementara itu, Ganesh berkata, dia dan keluarganya akan tinggal buat sementara waktu di unit bencana PPR Padang Tembak sehingga unit PPR di blok berhampiran selesai dibaiki.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew bantu keluarga tinggal dalam kereta

Artikel Berkaitan:

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berkata, dia gembira apabila isteri dan tiga anak mereka berusia antara enam tahun hingga 8 bulan tidak perlu lagi bersesak serta berhimpit di dalam kereta setiap hari.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah membantu keluarga saya.

"Kami amat terharu apabila semua pihak tanpa mengira latar belakang telah membantu saya dan anak-anak," katanya.

Khamis lalu, media melaporkan kehidupan Ganesh bersama isteri, S Parameswary, 32, dan tiga anak mereka terpaksa tinggal dalam kereta Proton Iswara yang berusia kira-kira 20 tahun selepas rumah mereka di Lebuh Carnarvon di sini musnah dalam kebakaran pada awal April lalu.

Ganesh berkata, setiap hari dia akan membawa kereta Proton Iswara terpakai tersebut dengan anak dan isteri mencari tempat redup untuk berteduh sementara di sekitar bandar ini serta menggunakan tandas awam untuk mandi.

Sementara itu, Parameswary yang baharu bersalin lapan bulan lalu terpaksa menjalani kehidupan berpantang dengan anak ketiganya di dalam kereta tersebut kerana tiada tempat tinggal.

Dia hanya mengharapkan pendapatan suami yang bergaji kecil dan bayinya hanya minum susu badan bercampur susu tepung.

Dalam pada itu, keperitan hidup Ganesh turut mendapat perhatian penceramah terkenal, Ebit Lew yang tiba di Pulau Pinang bagi menyalurkan bantuan pada Jumaat.

Ebit telah membawa keluarga itu membeli barangan keperluan seperti petia ais dan katil selain menyewa rumah baharu yang mempunyai tiga bilik untuk mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!