Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya
KOTA BHARU - Banjir gelombang kedua di Kelantan pulih sepenuhnya apabila kesemua 33 mangsa terakhir di jajahan Pasir Mas sudah dibenarkan pulang petang Sabtu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Zainuddin Hussin berkata, kesemua enam keluarga yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tok Deh itu dibenarkan kembali ke rumah masing-masing pada jam 2 petang tadi.
Menurutnya, mangsa terakhir membabitkan 10 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan bersama seorang bayi lelaki dan seorang warga emas perempuan.
“Mereka dibenarkan pulang setelah kawasan kediaman sudah selamat untuk didiami,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, berdasarkan infografik sekretariat tersebut juga menunjukkan paras air Sungai Golok berada pada bacaan 8.13 meter.
Bacaan tersebut berada pada paras amaran tetapi menunjukkan trend menurun.
Bacaan di Sungai Kelantan Tangga Krai (18.89 meter, normal), Sungai Kelantan di Tambatan DiRaja ( 1.35 meter, normal) dan Sungai Golok di Jenob (19.82 meter, normal).
Sungai Golok di Kuala Jambu (3.32 meter, normal) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (0.66 meter, normal).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!