Feri Pulau Pinang: DAP kesal dengan Tengku Zafrul
GEORGETOWN - DAP menyatakan kekesalannya terhadap Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang disifatkan dengan sengaja mengelirukan Parlimen berhubung pelaksanaan perkhidmatan feri di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Tengku Zafrul juga dilihat telah melakukan dosa besar sebagai menteri apabila memungkiri janji di Parlimen mengenai perkara itu.
Menurutnya, tindakan Tengku Zafrul itu juga bukan sahaja telah merosakkan kredibilitinya malah membahayakan reputasi antarabangsa negara yang dilihat sebagai lemah tanpa pengaruh terhadap dasar kerajaan.
"DAP amat kecewa dengan Tengku Zafrul kerana gagal menepati janjinya di Parlimen pada 17 Disember lalu untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang setelah pengumuman penamatannya oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.
"Saya harap Tengku Zafrul memberi penerangan kepada rakyat Pulau Pinang secara terbuka menjelaskan keadaan yang membingungkan ini, yang boleh membawa kesan serius lebih daripada sekadar mempertahankan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, sebagai arkitek dan jurucakap utama dasar ekonomi Malaysia, kredibiliti seorang Menteri Kewangan sangat penting untuk mengekalkan kepercayaan awam.
"Ia juga memain peranan dalam memberi keyakinan di kalangan pelabur dan komuniti perniagaan bahawa negara itu memaksudkan apa yang dikatakan dan mengatakan apa yang dimaksudkan.
"Jika tidak, bagaimana Malaysia dapat mengembalikan penarafan kredit negara setelah penurunan oleh Fitch Ratings daripada A- ke BBB +?" katanya.
Beliau berkata, pembatalan perkhidmatan feri Pulau Pinang merupakan konfrontasi terbuka Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat negeri ini yang diketuai oleh orang suruhan mereka, MCA dan Ka Siong.
"Ini bukan kali pertama Pulau Pinang menderita teruk akibat politik balas dendam sejak kerajaan PN mengambil alih pada Mac lalu. Selain feri, Pulau Pinang kehilangan beberapa projek pembangunan yang telah diluluskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Walaupun Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM7 bilion dalam bentuk cukai dan hasil tahunan kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan tetap menarik balik semua projek pembangunan kritikal yang diperuntukkan oleh Kerajaan PH," katanya.
Guan Eng berkata, MCA dan Ka Siong tidak akan pernah dimaafkan dan dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang kerana politik balas dendam mereka yang disifatkan sebagai kejam.
"Antara projek pembangunan yang dibatalkan adalah penamatan cadangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan pembatalan geran RM100 juta untuk membina kereta kabel Bukit Bendera.
"Selain itu, kerajaan PN juga menangguhkan jaminan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dalam mengatasi kesesakan kronik lalu lintas di sini," katanya.
Pada 17 Disember lalu, Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada tahun 2021 dan 2022.
Sementara itu, Ka Siong berkata, kerajaan Persekutuan memberi jaminan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan feri yang moden demi keselamatan dan keselesaan penumpang.
Menurutnya, beberapa pihak melahirkan perasaan kesal atas keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang kian meningkat disebabkan faktor feri berusia 47 tahun yang perlu diselenggarakan secara purata sebulan sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!