PKPD di Flat Desa Bistari, Pulau Pinang ditamatkan hari ini

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Desa Bistari, Batu Uban di Mukim 13, Daerah Timur Laut Pulau Pinang ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah melanjutkan PKPD di lokaliti itu daripada 20 Disember sehingga 31 Disember ini.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah selesai melaksanakan saringan ke atas semua penduduk di lokaliti ini dan tiada lagi sampel menunggu keputusan. Baki kes positif Covid-19 di lokaliti ini juga terkawal dan menunjukkan trend penurunan.

“Sehubungan itu atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Flat Desa Bistari hari ini," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,002 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP pada Jumaat dengan 854 dikompaun manakala 148 direman.

Menurutnya, kesalahan tertinggi dicatatkan adalah aktiviti pusat hiburan sebanyak 687 kes, diikuti gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal (125), tidak memakai pelitup muka (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63) dan lain-lain (58).

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 35 pendatang asing ditahan serta tiga buah kenderaan dirampas pada Jumaat.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga Jumaat, sebanyak 92,607 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 76 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 7,206 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 84,865 individu dibenarkan pulang, katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!