SPPP sedia bas percuma kepada penumpang feri
GEORGETOWN - Perkhidmatan bas perantara akan disediakan secara percuma bagi membawa penumpang dari Terminal Swettenham Pier Cruise ke Pangkalan Tun Raja Uda bermula 1 Januari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, perkhidmatan bas perantara itu bagi memudahkan penumpang feri meneruskan perjalanan mereka untuk menaiki bas atau teksi di Pangkalan Raja Tun Uda.
"Operasi perkhidmatan feri bagi penumpang adalah antara Terminal Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Terminal Swettenham Pier Cruise di kawasan pulau. Perkhidmatan bas perantara (shuttle) secara percuma akan disediakan untuk membawa penumpang yang turun di Terminal Swettenham Pier Cruise ke Pangkalan Tun Raja Uda.
"Ia bagi memudahkan penumpang feri meneruskan perjalanan mereka untuk menaiki bas atau teksi di Pangkalan Raja Tun Uda tanpa sebarang masalah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Teik Cheng sebelum ini mengumumkan, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun depan yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.
Menurutnya, semua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.
Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang mengambil alih feri juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN Katamaran ganti feri di Pulau Pinang
PPSB perlukan masa untuk dapatkan gambaran sebenar
Untuk tempoh interim iaitu bermula 1 Januari 2021 hingga Jun 2022, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju, manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri sedia ada.
Semasa tempoh itu, kedua-dua terminal Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim akan diubahsuai dan dinaiktaraf bagi mengendalikan feri baharu dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap selain terminal lebih selesa kepada pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!