Dua lemas: Pencarian masih tiada petunjuk

Keadaan ombak setinggi tiga meter menyukarkan SAR walaupun pencarian diperluaskan sejauh 42 kilometer.
Keadaan ombak setinggi tiga meter menyukarkan SAR walaupun pencarian diperluaskan sejauh 42 kilometer.
A
A
A

MARANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, di sini diperluaskan sejauh 42 kilometer bermula dari Kuala Marang hingga Kuala Abang, Dungun.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, operasi pada Sabtu bermula jam 7 pagi dan pihaknya merancang menghentikan operasi jam 12 tengah malam.

Bagaimanapun katanya, operasi akan diteruskan tanpa henti selama 24 jam jika perlu.

"Kebiasaannya dalam tempoh 24 jam, mangsa lemas akan timbul di permukaan air dan kita juga bersedia mengerahkan semua logistik yang ada," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Kelulut di sini.

Mohd Zain berkata, seramai 110 anggota membabitkan pelbagai agensi terlibat SAR iaitu seramai 62 di Pantai Kelulut manakala 48 lagi di Pantai Jambu Bongkok.

Katanya, selain aset seperti bot, operasi turut menggunakan motosikal lasak dan jet ski.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa arus ke tengah laut kerana air pasang ketika kejadian pada Jumaat manakala air surut pada pagi Sabtu.

"Selain itu, keadaan air di pesisir pantai agak keruh dan menyukarkan kita mengesan mangsa. Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk membabitkan kedua-dua mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan dua lelaki termasuk seorang bakal pengantin dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, di sini Jumaat

Dalam kejadian pada jam 6.40 petang di Pantai Kelulut, bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 48 tahun dari Hulu Terengganu pula dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut di Pantai Jambu Bongkok.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!