Mengarusperdana hukum syariah
Rencana ini ialah yang terakhir saya tulis untuk ruangan Usul bagi tahun 2020. Sudah pasti kenangan sepanjang 2020 segar dalam ingatan.
Rasanya sangat pantas masa berlalu, sama ada kita berjaya mengisinya dengan baik ataupun tidak. Mustahil masa yang berlalu itu dapat dikembalikan. Kita hanya dapat merenung kembali apa yang telah berlaku sebagai sejarah.
Sejarah mengajar kita lebih bertamadun dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan yang mendatang. Pandemik Covid-19 yang dihadapi kini sudah pasti memberi pengajaran kepada kita.
Selain Covid-19 terdapat banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun ini yang memberi kesan kepada masyarakat. Daripada aspek perundangan seperti tahun-tahun sebelumnya, 2020 menyaksikan beberapa perkara melibatkan perbincangan hebat kedudukan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah.
Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan Perkara 121 (1A) masih hangat dibahaskan. Beberapa kes yang berlaku menyentuh isu itu sehingga membawa kepada perbincangan sama ada Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau tidak.
Landskap politik yang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya mewarnai dan memberi kesan kepada perundangan negara apatah lagi perubahan kerajaan pada tahun ini.
Peruntukan undang-undang yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan orang Melayu masih dipersoalkan walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Digambarkan di negara ini pula seolah-olah kaum minoriti ditindas walaupun hakikatnya ialah sebaliknya.Isu mengenai keperlembagaan peruntukan jenayah syariah seperti liwat yang digubal negeri-negeri juga sedang menanti keputusan Mahkamah Persekutuan. Begitu juga mengenai keislaman seseorang yang mengaku tidak Islam masih diperhalusi oleh Mahkamah Persekutuan.
Persoalan murtad pula walaupun dituntas berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah, namun masih terdapat segelintir yang enggan menerima hakikat kewujudan mahkamah syariah dan bidang kuasanya.
Malah, sesetengah golongan cuba mengaburi bidang kuasa mahkamah syariah dengan mencampurkan bidang-bidang lain yang bukan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Pernikahan bawah umur masih dijadikan polemik walaupun Islam membenarkan seseorang yang telah mencapai umur baligh bernikah.
Perspektif lensa dan norma hidup Barat yang mengehadkan pernikahan setelah mencapai umur 18 tahun dipegang erat oleh sesetengah golongan walaupun agama membenarkannya.
Pelbagai Institusi agama Islam seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, Mufti dan banyak lagi menjadi target cemuhan dan kritikan ramai walaupun seringkali apa yang ditimbulkan tersasar daripada landasan kebenaran.
Keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam kes ‘Bin Abdullah’ mendominasi perbahasan hangat di media kerana ada sesetengah agamawan yang bersetuju dengan keputusan tersebut atas alasan tidak mahu menzalimi anak yang tidak berdosa.
Kita wajar toleh ke belakang melihat kesilapan yang berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun mendatang.
Berpindah ke tahun baharu sebenarnya membawa tanggungjawab yang lebih besar.
Kita semua ingin melihat negara mencapai status negara maju dengan nilai-nilai murni yang dipertahankan.
Semoga tahun 2021 membuka lembaran lebih baik serta membawa kebaikan untuk kita semua khususnya bagi perundangan Islam. Perpaduan umat Islam yang sangat rapuh ketika ini perlu dipereratkan lagi agar menjadi pemangkin kepada kemajuan umat.
Kita wajar toleh ke belakang melihat kesilapan yang berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun mendatang.”
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!