Dividen ASB: Awasi virus pelaburan

A
A
A

Saya tidak terkejut dengan kadar pulangan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) paling rendah dalam 30 tahun sejarahnya, malah telah beberapa kali menulis termasuk di sini, memberi amaran dan kata dua.

Sebagai pelabur ASB sejak ia dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Almarhum Tun Hussein Onn pada tahun 1981, saya berhak berasa kecewa dan marah dengan apa yang telah berlaku. Pulangan tahunan kewangan 2020 yang diumumkan Rabu lalu terbahagi kepada tiga komponen iaitu 3.50 sen dividen dan 0.75 sen bonus bagi menjadikan jumlah 4.25 sen.

Komponen ketiga adalah bayaran ihsan sebanyak 0.75 sen sehingga maksimum 30,000 unit atau RM225 kepada semua pemegang unit sebagai saguhati ulang tahun ASB ke-30.

Kalau dibandingkan dengan pulangan tahun 2019 sebanyak 5.50 sen (5.00 sen dividen dan 0.50 sen bonus), maka pulangan tahun ini merosot 1.25 sen.Dari sudut nisbah, kadar susutan itu sangat besar dan memeranjatkan kerana berlaku dalam suasana di mana pasaran saham Malaysia naik dengan tinggi.

Sepatutnya apabila pasaran saham naik, nilai pelaburan ASB juga naik kerana sebahagian besar pelaburannya ialah dalam bentuk saham yang diniagakan di Bursa Malaysia.

Timbul persoalan mengapa prestasi kewangan ASB dan boleh jadi juga induknya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak selari dengan aliran positif pasaran saham? Jalan mudah ialah menyalahkan kesan buruk pandemik Covid-19 ke atas ekonomi.

Tapi pasaran saham kita naik dan sebagai badan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kedua terbesar negara selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PNB tentu ada tabung rizab. Tabung rizab ini adalah komponen penting dalam sistem kewangan PNB kerana pada awal operasinya pada tahun 1980-an ia diberikan banyak saham legasi oleh kerajaan dengan harga murah.

Timbul persoalan adakah ia berpunca daripada kerosakan (impairment) akibat pelaburan besar dalam syarikat-syarikat seperti Sapura Energy Berhad (SEB), SP Setia Berhad dan usaha sama hartanah dengan Jakel Development Sdn Berhad serta Symphony House Berhad?

Agaknya berapa banyak pulangan boleh diagih kepada pemegang unit ASB jika PNB tidak menanggung kerosakan akibat pelaburan besar yang bermasalah ini? Saya ulangi kenyataan saya sebelum ini, pengurusan kanan PNB sekarang dan yang lepas wajib bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kepada agensi pelaburan bumiputera itu.

Apakah rasional mereka membuat pelaburan terpilih dalam syarikat-syarikat yang kini membebankan seperti SP Setia yang mereka kuasai melalui pengambilan alih ganas (hostile takeover) dan pendedahan (expose) besar dalam SEB?

Saya tidak mahu sebut nama tetapi Pengerusi, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB yang terlibat membuat keputusan itu masih hidup. Malah ada yang terus diberi amanah mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan terus disanjung.

Artikel Berkaitan:

Sebelum pemerintahan Pakatan Harapan (PH), emolumen pengurusan tinggi PNB sangat lumayan. Ada Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif yang mendapat upahan antara RM300,000 hingga RM400,000 sebulan.

Saya tidak pasti jika ia diteruskan oleh kerajaan sekarang. Kalau pemegang unit ASB dan skim-skim lain tajaan PNB diberi pulangan ciput, adakah wajar Pengerusi, Presiden, Ketua Eksekutif dan pasukan mereka terus dibayar gaji lumayan?

Pulangan ASB paling rendah dalam sejarah itu tidak sedikit pun membantu meringankan beban majoriti pelabur ASB apatah lagi dalam keadaan ekonomi merudum sekarang. Pada masa yang sama, terdapat kebimbangan PNB mungkin sedang memainkan peranan Santa Claus kepada beberapa rakan kongsi istimewa. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!