Menjamin daging halal untuk rakyat
Pertama kali dunia dikejutkan dengan skandal daging sejuk beku berlaku pada tahun 2013 apabila daging kuda, yang dicampur dengan daging lembu dipasarkan di Eropah, mulai di Ireland dan kemudian United Kingdom.
Kajian oleh pakar pemakanan membuktikan kewujudan DNA kuda dalam produk makanan burger daging yang dijual di pasar raya kedua-dua negara tersebut sebagai pure beef (lembu sepenuhnya).
Siasatan selanjutnya mendedahkan bahawa daging kuda itu berasal dari pusat sembelihan di Romania, dikendalikan oleh dua syarikat berpangkalan di Cyprus dan Belanda, yang kemudian telah membungkus semula dan melabelkannya sebagai daging lembu.
Pada tahun 2017, timbul pula skandal daging rosak dari Brazil. Kerajaan Indonesia dan Vietnam selari membuat peraturan baru mengharamkan pengimportan semua produk daging dari negara Amerika Selatan itu selepas siasatan ke atas 21 syarikat pengeksport daging di Brazil mendedahkan mereka telah memalsukan tarikh tamat tempoh penggunaan daging, dan mencampurkan daging dengan bahan kimia.
Tindakan yang sama diambil oleh Kesatuan Eropah, China, Chile, Hong Kong, Jepun, Switzerland, Mesir, Arab Saudi, Mexico dan Jamaica.
Bagaimanapun, pada 23 Mac 2017 Astro Awani melaporkan bahawa daging import dari Brazil yang ada dalam pasaran negara ini bebas daripada skandal daging tercemar yang berlaku di negara itu.
Menteri Penasihat di Kedutaan Brazil di Malaysia, Daniel Falcon Lins, mengesahkan tiada satu pun daripada 21 kilang pemprosesan yang terlibat dalam skandal itu, diberi kebenaran untuk mengeksport produknya ke Malaysia.
Terbaru, kita dikejutkan dengan berita kegiatan kartel haram yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk sumber yang diragui status halalnya. Kartel ini dipercayai telah mendapatkan ‘kerjasama’ beberapa kakitangan kerajaan untuk membenarkan kemasukan daging tersebut ke negara ini.
Siasatan
Siasatan awal menunjukan bahawa kartel ini ada ‘orang dalam’ yang bertugas di semua peringkat pemeriksaan di pintu masuk negara, menyebabkan mereka mampu beroperasi sejak sekian lama.
Kita difahamkan kerajaan Malaysia telah meluluskan 28 pusat sembelihan lembu di Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan.
Semua pusat sembelihan itu telah menjalani pemeriksaan audit oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diberikan kelulusan.
Selain itu, ada beberapa agensi lain yang ditugaskan mengawal selia urusan import bekalan daging ke negara ini, termasuklah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Pelabuhan.
Dengan adanya semua warga kerja pelbagai agensi itu, sepatutnya kartel haram itu tidak boleh wujud, apatah lagi subur dan terus berkembang. Malangnya, ia boleh berlaku disebabkan rasuah.
Kartel haram ini dipercayai mendapatkan bekalan daging dari pusat sembelihan di beberapa negara. Untuk memudahkan aktiviti mereka menyeludup bekalan daging dari negara tidak diiktiraf ini, kartel telah membina rangkaian hitam mereka awal-awal lagi, membabitkan penjawat awam dalam agensi tertentu di negara ini.
Laporan media pada 21 Disember lalu menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan (dengan kerjasama beberapa agensi awam lain) mengenai kegiatan penyeludupan daging import oleh kartel di bawah seksyen 16 (kesalahan menerima suapan) dan Seksyen 18 (kesalahan memperdayakan prinsipal oleh ejen) Akta SPRM 2009.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberitahu media pihaknya tidak akan teragak-agak menggantung permit import (AP) mana-mana syarikat yang telibat dalam kegiatan kartel haram ini.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula menggesa kerajaan menarik semula daging beku import yang ada dalam pasaran kerana khuatir pengguna Islam tanpa sedar akan membeli dan memakan daging yang tidak halal.
Gesaan CAP ini dibuat ekoran tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta dari sebuah gudang simpanan di Senai, Johor.Badan pengawal
Daging itu, yang dipercayai diimport dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina (kesemuanya tidak halal) telah dibungkus semula dan dilabelkan sebagai daging halal sebelum ia diedarkan ke seluruh negara.
Prosiding jenayah boleh dijalankan ke atas ahli kartel haram ini di bawah undang-undang sedia ada, antaranya Akta Perihal Dagangan 2011 dan dua perundangan kecil di bawahnya iaitu Perintah Perihal Dagangan (Definisi Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Sijil dan Logo Halal) 2011, bagi kes-kes mengenai sijil halal atau pemalsuannya.
Bagi kes-kes yang melibatkan keselamatan produk makanan itu, tindakan boleh dijalankan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985. Bagi kes-kes melibatkan pengimportan daging dari luar negara, undang-undang berkaitan adalah Akta Kastam 1967 dan Perintah Kastam (Larangan Import) 1998.
Barangkali sampai masanya kita mempermudah, menyelaras dan menyatukan undang-undang negara kita mengenai isu pengimportan, pengedaran dan penjualan daging halal ini dalam satu akta khusus.
Lapan tahun lalu sewaktu Malaysia menganjurkan Persidangan Halal Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2012, sudah ada cadangan supaya diwujudkan satu Suruhanjaya Halal (Halal Commission) sebagai sebuah badan pengawal yang punyai kuasa mengawal selia, memantau, menyiasat dan menjalankan prosiding jenayah ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara ini.
Indonesia nampaknya telah mendahului kita dengan mewujudkan Undang-Undang Tentang Jaminan Produk Halal (No. 33 Tahun 2014), yang mengandungi 69 pasal. Di bawah pasal 57, mana-mana pihak yang melanggar atau ingkar mematuhi undang-undang ini boleh dihukum penjara dua tahun atau denda ‘dua miliar rupiah’.
*Profesor Datuk Dr Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan dan Pakar Undang-Undang
ARTIKEL BERKAITAN Kartel tukar daging haram jadi halal
Kartel daging haram: MCW serah memorandum
Daging import haram dijual secara online
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!