Mayat bakal pengantin ditemui terdampar di tepi Pantai Alur Tuman
MARANG - Mayat bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang dikhuatiri lemas di pantai Kelulut sejak Jumaat ditemui terdampar di tepi Pantai Alur Tuman, di sini pagi pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mayat berkenaan ditemui oleh pasukan penyelamat yang diketuainya semasa menjalankan rondaan di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi.
"Kira-kira jam 8.55 pagi, semasa tiba di lokasi iaitu kira-kira jarak tiga kilometer dari tempat mangsa dikhuatiri lemas, kami ada ternampak satu objek dan terus menghampiri untuk pengesahan sebelum ternampak satu mayat terdampar di atas pasir.
"Sejurus menemui mayat berkenaan, kami terus menghubungi keluarga mangsa untuk pengecaman sebelum bapanya, Kamaruddin Abdullah, 59, mengesahkan mayat tersebut adalah anaknya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi di Pantai Kelulut di sini.
ARTIKEL BERKAITAN:Bakal pengantin dijadual nikah hari ini dikhuatiri lemas
Mayat kemudiannya di bawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata, dengan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat di Pantai Kelulut, Marang ditutup sepenuhnya kira-kira jam 11 pagi pada Ahad dan kini memfokuskan pencarian mangsa di pantai Jambu Bongkok di sini.
Sebelum ini media melaporkan dua lelaki termasuk seorang bakal pengantin dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongko, di sini pada Jumaat
Dalam kejadian jam 6.40 petang di Pantai Kelulut, bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di pantai berkenaan manakala seorang lelaki berusia 48 tahun dari Hulu Terengganu pula dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut di Pantai Jambu Bongkok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!