Guardiola enggan dibuai kejayaan
PENGENDALI Manchester City Pep Guardiola tidak mahu terlalu dibuai kejayaan setelah menewaskan Newcastle United 2-0 di gelanggang sendiri awal pagi tadi.
Guardiola menegaskan, skuad kendaliannya itu masih perlu mengharungi jadual perlawanan bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang agak ketat selain aksi Piala Liga dan juga Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun menurutnya, di sebalik jadual perlawanan yang agak padat, dia tetap mahu kesebelasan pemain City memberikan fokus pada setiap perlawanan yang diharungi.
“Aksi berdepan Newcastle United agak sukar kerana mereka sukar untuk ‘ditembusi’ dan ini ditambah dengan keadaan cuaca (hujan lebat); namun, ia adalah tempo aksi yang perlu kami harungi kerana kali ini lawan beraksi dengan agak baik.
“Cuma sayangnya, kami tidak dapat menjaringkan lebih banyak gol, namun kami tetap melihat keputusan ini sebagai keputusan yang baik dan kami meraih tiga mata yang cukup berharga,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan penyerang City, IIkay Gundogan menjaringkan gol pada minit ke-14 manakala seorang lagi pemain, Ferran Torres menjaringkan gol kedua pada minit ke-55.
Kemenangan itu menyaksikan City kini berada pada kedudukan kelima EPL dengan 26 mata hasil tujuh kemenangan, seri lima kali dan tewas dua kali daripada 14 perlawanan setakat ini.
City juga bakal berdepan Manchester United bagi aksi separuh akhir Piala Liga 7 Januari depan selain turut berdepan Borussia Monchengladbach dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara pada 25 Februari.
Sementara itu Guardiola tetap mengkritik jadual perlawanan EPL kali ini yang disifatkannya agak ketat.
Katanya, berdasarkan jadual, pemain perlu mengharungi satu perlawanan dalam tempoh tiga hari.
“Kami tidak boleh berfikir dengan banyak dalam situasi seperti ini. Sebagai contoh, kami hanya mempunyai 48 jam sebelum kembali beraksi berdepan Everton pada 28 Disember (pada Isnin).
“Apa pun, kami tetap menerima jadual ini dan pemain perlu kekal komited dan fokus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!