'Gelembung' sukan rancakkan acara sukan tahun depan

Timbalan Menteri KBS, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tiga,kiri) menyampaikan bungkusan keperluan asas kepada penerima di Program Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, di sini.
Timbalan Menteri KBS, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tiga,kiri) menyampaikan bungkusan keperluan asas kepada penerima di Program Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, di sini.
A
A
A

PASIR MAS - Kementerian Belia dan Sukan menjangkakan model gelembung sukan dapat merancakkan kembali arena sukan di negara ini tahun depan walaupun masih dalam kawalan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walaupun kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan namun kementeriannya menasihatkan rakyat menjaga diri sebaik mungkin ketika menjalani aktiviti sukan.

Menurutnya, kementerian memperkenalkan model gelembung sukan tetapi pada masa sama mahu melihat masyarakat mengadaptasi kelaziman baharu dalam dunia sukan ketika penularan wabak Covid-19.

"Kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini tetapi saya menjangkakan aktiviti sukan akan kembali rancak tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pada Program Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, di sini pada Ahad.

Wan Ahmad berkata, model gelembung sukan yang diperkenalkan oleh KBS dijadualkan bermula Januari depan melibatkan penganjuran acara percubaan sukan permotoran di Litar Antarabangsa Sepang.

"Percubaan MotoGP itu merupakan satu eksperimen sebelum meneruskan acara sukan lain,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2026, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan lanjut dan akan dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun depan.

Bagaimanapun, KBS tetap optimis untuk membantu Kelantan kerana memerlukan banyak penambahbaikan dan pembinaan baharu infrastruktur sukan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!