Bakal pengantin lemas: MB sedia tanggung kos urus jenazah

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersedia menanggung kos pengurusan jenazah, Naim Hariri Kamaruddin, 31 yang ditemui lemas di Pantai Kelulut, Marang, pagi Ahad.

Dr Ahmad Samsuri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, pihaknya juga akan menanggung kos penghantaran pulang jenazah Naim Hariri ke Kuala Lumpur sekiranya dipersetujui keluarga Allahyarham.

“Perasaan sayu, namun syukur Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin yang dilaporkan hilang di Pantai Kelulut telah ditemukan sebentar tadi.

“Takziah diucapkan buat keluarga mangsa. Doakan keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi kehilangan orang tersayang.

“Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang akan menanggung kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah sekiranya dipersetujui oleh keluarga arwah,” katanya dalam Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Mayat Naim Hariri yang dilaporkan lemas di pantai Kelulut sejak Jumaat lalu ditemui terdampar di tepi Pantai Alur Tuman, Marang oleh pasukan penyelamat sekitar jam 8.55 pagi tadi.

Mayat mangsa yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya pada Sabtu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin dijadual nikah hari ini dikhuatiri lemas

Artikel Berkaitan:

Mayat bakal pengantin ditemui terdampar di tepi Pantai Alur Tuman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!