Tingkatkan pengeluaran daging tempatan bagi kawal daging import

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penasihat Pengguna Negara mencadangkan peningkatan pengeluaran daging tempatan bagi mengawal kemasukan daging import ke negara ini.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kebergantungan 70 peratus daging lembu bernilai lebih RM1 bilion dari luar negara memberi peluang kepada syarikat kartel menguasai pasaran tempatan menyebabkan wujud penyelewengan.

Katanya, modal besar syarikat terbabit dapat mengawal pasaran tempatan sehingga menggunakan kuasa wang untuk melanggar peraturan dan meraih keuntungan lumayan.

"Tanpa adanya kartel dan perlakuan rasuah serta salah urus industri bekalan daging lembu, negara ini tidak sepatutnya berada pada tahap 30 peratus sara diri keperluan daging," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendakwa, ada pihak yang mencari kesempatan untuk meraih keuntungan mudah dengan memalsukan sijil halal dan syarat kemasukan ke dalam pasaran tempatan.

"Kami bersetuju supaya siasatan dan tindakan tegas diambil ke atas individu yang terbabit dalam pemalsuan sijil dan logo halal.

"Kami juga mengusulkan isu kartel daging import yang menjadi perdebatan hangat segera diselesaikan dengan penguatkuasaan undang-undang," kata beliau.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak seharusnya cuai dengan tanggungjawab bagi memastikan tiada syarikat kartel mengambil peluang ke atas urusan import daging halal.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak menuding jari kepada agensi tertentu tetapi mahu siasatan dilakukan dengan adil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!