Jadikan ciri perniagaan Nabi Muhammad sebagai panduan

Zaharudin berkongsi ilmu pada Webinar Bisnes & Usahawan Era Digital dan Covid yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada Ahad.
Zaharudin berkongsi ilmu pada Webinar Bisnes & Usahawan Era Digital dan Covid yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Urusan Elzar Group, Dr Zaharudin Abdul Rahman menegaskan terdapat beberapa ciri perniagaan Nabi Muhammad SAW yang boleh dijadikan panduan untuk seseorang individu itu memulakan perniagaan.

Beliau berkata, ciri-ciri itu boleh dibahagikan kepada sudut spiritual dan praktikal, di mana ia sangat ideal serta mudah difahami, namun untuk seseorang itu melaksanakannya tidaklah semudah seperti disangka.

"Antara ciri yang utama, usahawan atau peniaga perlu bersikap jujur dan amanah khususnya dalam aspek pengiraan serta penyampaian perkhidmatan sesuatu produk.

"Seterusnya, perlu ada sikap untuk sentiasa mempermudahkan urusan pelanggan contohnya, jika letakkan harga sesuatu barang biarlah berpatutan dan jika pelanggan tidak dapat bayar, bagi ruang dengan memanjangkan tempoh pembayaran kepadanya tanpa mengenakan riba," katanya pada Webinar Bisnes & Usahawan Era Digital dan Covid yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada Ahad.

Turut menampilkan lima lagi panel pembentang dan forum lain antaranya termasuk Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Pengasas Rangkaian MyDental Care Clinics dan MyKids Dental, Dr Aslan Bacho serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Moovby, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamal.

Zaharudin berkata, ciri keempat adalah penekanan terhadap sifat ihsan kerana Nabi sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki apa yang sudah ada dan akan sentiasa mendapatkan maklum balas untuk menambah baik kekurangan perniagaan yang diusahakan.

Selain itu katanya, rundingan atau konsultasi juga perlu dibuat dengan rakan kongsi atau mereka yang berpengalaman.

"Dalam dunia moden hari ini, webinar yang kita laksanakan hari ini adalah antara contoh konsultasi dengan orang-orang berpengalaman.

Artikel Berkaitan:

"Seseorang usahawan itu juga perlu bersikap telus dan sentiasa memberi respons kepada komen pelanggan. Maknanya, kalau produk dijual ada kesan sampingan atau ada limitasi kena maklum pada pelanggan dan kalau terima aduan daripada pelanggan kena beri perhatian dan layani dengan sabar," katanya.

Zaharudin berkata, Nabi juga mengajar perniagaan yang berjaya dan diberkati perlu ada kualiti tenaga kerja, di mana perlu sentiasa memperkemaskan tenaga kerja dan memilih tenaga kerja.

Katanya, oleh itu perlu digajikan orang yang kuat iaitu memiliki pengalaman dan disediakan peralatan yang bagus agar mereka dapat mempamerkan kerja yang berkualiti.

Dalam pada itu, Zaharudin juga menekankan bahawa terdapat tiga ilmu alat perniagaan yang perlu diketahui sebelum memulakan syarikat baharu seperti start up, syarikat teknologi atau apa-apa syarikat.

Beliau berkata, sebelum memulakan sesuatu perniagaan, perlu tahu apa masalah yang dihadapi orang ramai termasuk diri sendiri.

"Jika kita boleh melihat masalah itu dan mampu mencari jalan untuk selesaikannya, bermakna kita boleh berdaya saing atau berlestari untuk kekal bertahan dalam perniagaan yang dilakukan.

"Setelah itu, fikirkan modal untuk memulakan perniagaan sama ada besar atau tidak. Jika modal itu adalah minda, maka biasanya ia akan lebih cepat berkembang maju tetapi memerlukan kepintaran.

"Jadi modal boleh dapat juga walaupun tanpa duit iaitu dengan menggunakan minda di mana buat untung dulu tanpa perlukan modal luar. Itu adalah bagus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!