'DAP umpama menangguk di air keruh'
IPOH - Armada Perak menempelak kenyataan dikeluarkan Pemuda DAP pada Sabtu berhubung perkembangan politik di negeri ini.
Ketuanya, Muhammad Faizul Mohamed Ismail berkata, kenyataan yang antara lain menyifatkan bekas Menteri Besar Perak sebagai tamak sehingga dijatuhkan melalui usul undi percaya itu umpama menangguk di air keruh.
"Kami memberi peringatan keras kepada pemimpin politik DAP, sila hormati titah baginda Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizuddin Shah) dan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) supaya menghentikan polemik politik yang tidak menguntungkan rakyat.
"Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada titah baginda yang telah menzahirkan dukacita atas pelantikan menteri besar baru yang juga disifatkan sebagai kegagalan kepada seluruh anggota DUN termasuklah Pakatan Harapan (PH) tanpa pengecualian," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan tiga Menteri Besar cerminan kegagalan: Sultan Nazrin
Beliau berkata, tiada dalam mana-mana titah perintah baginda sultan menzahirkan kekecewaan atas kegagalan atau ketamakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan sehinggalah terjadinya peristiwa pelantikan Menteri Besar ketiga sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Justeru katanya, sikap DAP dan komponen PH yang suka menangguk di air keruh ini akan menjadi penyumbang kepada kegagalan sistem eksekutif negeri serta DUN dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang mereka wakili.
"Pemimpin politik di semua peringkat dan ideologi sama ada senior mahupun junior perlu ambil iktibar dan pengajaran daripada titah perintah Raja-Raja yang memayungi rakyat.
"Hentikan segala kemelut dan polemik politik. Rakyat yang akan terima padah sengsara jika masih bergelut mencatur kuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!