Kluster Halban: PKPD di Pondok Darul Naim

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta-merta melibatkan Kluster Halban di Pondok Darul Naim.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, perkara tersebut telah dimajukan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil bagi memastikan penularan wabak melalui kluster itu dapat dikawal sebaik mungkin.

"Oleh kerana mereka sekelompok dari kawasan pondok, maka Insya-ALLAH, kita seolah-olah kuarantinkan mereka di pondok dan tidak dibenarkan keluar. Kita akan hantar bantuan nanti.

"Untuk Kluster Seragam Chepa, mereka telah bersetuju untuk menutup operasi kilang sementara dan telah melakukan ujian swab bagi memastikan penularan wabak dapat dikawal.

"Buat masa sekarang ini, kita cuba kawal keadaan yang ada, namun sekiranya kawalan ini tidak berjaya, kita minta maaf pada rakyat, kita tidak teragak-agak untuk laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau hadir mesyuarat JKKN di Kompleks Kota Darulnaim di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju penguatkuasaan diperketatkan dari masa ke masa walaupun tiada sebarang PKP dilaksanakan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Malah Izani berkata, kajian daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri telah mengenalpasti antara punca penyebaran wabak adalah melalui program-program yang melibatkan orang ramai.

Katanya, melalui mesyuarat yang sama kerajaan negeri menegaskan hanya 50 orang sahaja dibenarkan hadir di majlis kenduri untuk satu-satu masa berbanding lebih 100 orang dibenarkan sebelum ini.

"Hari ini (Ahad) kita kurangkan jadi 50 orang untuk satu masa dan permohonan untuk melakukan kenduri juga perlulah membuat permohonan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mesti berlangsung bermula dari 12 tengah hari sehingga 4 petang sahaja, selain hanya dihadiri orang dewasa.

"Untuk mereka yang pulang ke kampung bercuti untuk jumpa keluarga, duduklah di rumah, sebab kita tidak tahu apa yang ada pada kita. Kita jaga diri kita, diri orang lain dan seluruh ahli keluarga kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!