Tahun 2021 lebih berinovatif

A
A
A

TAHUN 2020 adalah tahun yang amat mencabar. Kehadiran Covid-19 mengubah cara dan gaya hidup masyarakat. Banyak sektor terkesan terutama ekonomi kerana banyak perniagaan ditutup dan ramai yang hilang pekerjaan.

Kita diduga dengan pelbagai keadaan yang memaksa kita merangka dan memulihkan ekonomi untuk terus berdaya saing. Dengan pendekatan pendigitalan dan media sosial, perniagaan mengubah strategi pemasaran secara atas talian.

Melangkah ke tahun baharu 2021 memungkinkan kita untuk terus mengorak langkah dan mengutamakan budaya produktiviti dalam setiap gerak kerja serta amalan.

Malaysia telah berjaya membangunkan jaringan perdagangan yang kukuh dan kepelbagaian sektor walaupun berhadapan ketidakpastian yang melanda pasaran dagangan dunia baru-baru ini.

Mungkin sesetengah pihak menganggap ada lagi ruang dan peluang yang luas dalam pelbagai sektor. Ada juga melihat seolah-olah wujud ketidakpastian membimbangkan akibat Covid-19 dan turun naik ekonomi seluruh dunia

Tahun baharu seharusnya tidak menakutkan. Walau dalam apa keadaan pun, pertumbuhan ekonomi perlu menjadi keutamaan. Kita perlu menanam azam untuk lebih berinovatif dan produktif kerana setiap individu menyumbang kepada pembangunan negara.

Melalui daya kreativiti dan pengenalan idea baharu, banyak perkara dapat dilakukan. Jika kita bersungguh-sungguh melakukan kerja yang mengutamakan pencapaian serta hasil berkualiti, ia sudah cukup memuaskan hati dan memenuhi sasaran dalam organisasi.

Walaupun sumbangan kecil, sebenarnya ia cukup bermakna dalam menentukan produktiviti secara kolektif.

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha mencapai status negara maju, Malaysia memerlukan peningkatan besar dalam produktiviti negara.

Walaupun kita memiliki tenaga kerja bermotivasi dan mahir, organisasi di Malaysia juga harus bersedia untuk melabur modal bagi membantu pekerja sedia ada meningkatkan kemahiran kerja melalui latihan lebih meluas.

Kerajaan Malaysia melalui Belanjawan 2021 mengukuhkan ekonomi negara, daya saing awam dan produktiviti keseluruhan. Ia memberi tumpuan terutama dalam pelaksanaan langkah dirancang untuk mengoptimumkan pertumbuhan ekonomi.

Komited

Pada 2021, kerajaan komited memulihkan keadaan fiskal jangka sederhana. Campur tangan kerajaan melalui perkhidmatan dan pengurusan spesifik adalah penting untuk meningkatkan daya saing serta produktiviti negara.

Dengan mengutamakan penumpuan dalam sektor strategik, menghidupkan kembali industri berasaskan eksport dan menggalakkan keusahawanan mampu melonjakkan ekonomi negara.

Pembentangan Belanjawan 2021 turut merangkumi tindakan untuk menangani kesan akibat Covid-19 dalam ekosistem perniagaan. Kerajaan disaran meminda Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi memastikan penyampaian lebih menyeluruh dapat dinikmati rakyat.

Bantuan Prihatin Rakyat dan inisiatif subsidi upah perlu dipertingkatkan. Kerajaan juga perlu menambah lagi subsidi upah mencecah sehingga 70 peratus supaya syarikat boleh terus beroperasi.

Berikan tumpuan kepada sektor lain, bukan hanya perindustrian, pembuatan dan perkhidmatan. Malaysia juga perlu menambah dalam sektor yang kurang diberi penekanan sebelum ini dan menerokai bidang baharu.

Selain itu, fasiliti sekolah kebangsaan khususnya di luar bandar diharap dapat ditingkatkan supaya ia bertaraf antarabangsa.

Antara usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi negara adalah menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama bagi destinasi pelaburan dan peningkatan daya saing. Ia termasuk memudahkan operasi perniagaan dan mempercepatkan ekonomi digital.

Kita juga berharap kerajaan memberi jaminan akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang dihadapi kini. Misi untuk terus meningkatkan produktiviti mestilah menjadi agenda utama sebagai pemangkin pembangunan negara.

Semoga usaha kita dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!