Lantikan Manaf bukan kerana imbuhan

Saarani (dua dari kanan) pada program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di Bandar Meru Raya, Ipoh pada Isnin.
Saarani (dua dari kanan) pada program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di Bandar Meru Raya, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Pelantikan Datuk Abd Manaf Hashim sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak bertaraf exco dibuat bukan atas dasar imbuhan seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu itu dipilih kerana kebolehan dan pengalamannya sebagai wakil rakyat senior.

Menurutnya, Abd Manaf telah menganggotai Dewan Negeri sejak dua penggal lalu dan pernah berada dalam barisan lembaga pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama lapan tahun.

"Tidak ada imbuhan atau janji apa-apa, apabila tempat itu telah dikosongkan, maka saya perlu isi dan kita memilih orang yang pada pendapat kita layak.

"Antara kriterianya, pertama senior ADUN serta pengalaman dalam badan korporat, jadi berdasarkan itu kita lantik beliau...itu sahaja," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di Bandar Meru Raya, di sini yang turut dihadiri Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Pada 23 Disember lalu, Saarani mengumumkan pelantikan Abd Manaf sebagai penasihat khas beliau bersama seorang lagi wakil rakyat senior, ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Setiausaha Politik.

Sebelum ini, Abd Manaf telah mengemukakan usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam Sidang Dewan Negeri yang kemudiannya menyaksikan ADUN Chenderiang itu hilang majoriti sokongan.

Artikel Berkaitan:

Saarani (kanan) menanam pokok sebagai gimik perasmian program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di Bandar Meru Raya, Ipoh pada Isnin.
Saarani (kanan) menanam pokok sebagai gimik perasmian program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di Bandar Meru Raya, Ipoh pada Isnin.

Jawatan Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak itu sebelum ini disandang Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang kini merupakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Dalam perkembangan lain, Saarani yang juga Pengerusi UMNO negeri menyambut baik saranan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mahu Pas segera membuat pendirian jelas sama ada mahu bersama Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, perkara itu penting bagi memberikan hala tuju lebih jelas tanpa mengulangi kelemahan dan kesilapan sama sepertimana ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

"Beliau (Tajuddin) telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO untuk PRU15, jadi barangkali untuk kemudahan merancang, beliau perlu tahu mana-mana kawasan adakah kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional atau ada kerjasama Pas dengan Bersatu dalam PN.

"Kerana itu, Pas kena jelaskan pendirian mereka supaya dalam satu-satu keadaan nanti, mereka tidak tercicir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!