PDRM siasat video hina lagu kebangsaan Indonesia
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan itu turut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang sedia ada," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Abdul Hamid memaklumkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
Terdahulu, media melaporkan, Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi negatif yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video yang menghina negara jiran itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan pada Ahad menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular berkenaan.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan satu video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan dipercayai memperlekehkan serta menghina Indonesia.
Terdahulu, satu video dimuat naik pada dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting liriknya yang menghina negara Indonesia.
Video di ruang komen di YouTube berkenaan telah dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!