JAS siasat punca ikan mati di Sungai Tumboh
IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar ribuan ikan mati ditemui terapung di Sungai Tumboh, Kampung Gajah.
Pengarahnya, Rosli Zul berkata, sepasukan pegawai telah dihantar bagi menyiasat dan mengkaji punca kejadian selepas gambar kejadian itu tular di laman sosial Facebook pada Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kawasan terbabit didapati jauh dari kawasan perindustrian yang memungkinkan berlakunya pencemaran air.
"Kita dapati terdapat sebuah kilang memproses sawit dan kawasan pertanian terletak berhampiran lokasi.
"JAS sedang mengenal pasti punca dan mengambil sampel air di kawasan itu untuk dianalisis terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan melihat segala kemungkinan yang menjadi punca kejadian.
Terdahulu, kejadian itu turut dikongsikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam laman Facebook rasminya.
"Menerima beberapa keping gambar dan video menunjukkan banyak ikan mati di Sungai Tumboh, Kampung Gajah.
"Saya telah minta pihak JAS menyiasat segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!