Kerajaan usaha kurangkan ketirisan cukai

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri (kanan) ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke 14 Persidangan Dewan Negara di Parlimen Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri (kanan) ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke 14 Persidangan Dewan Negara di Parlimen Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berusaha mengurangkan ketirisan cukai sebagai antara strategi bagi menambah baik pentadbiran cukai di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Bagi tujuan itu beliau berkata, penambahbaikan akan dilakukan menerusi pengurusan data dan strategi integrasi data dengan agensi-agensi berkaitan.

“Antara strategi lain adalah mengurangkan amalan kurang lapor dan isytihar, memperluaskan asas hasil kerajaan dan memanfaatkan potensi sektor tidak formal,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 pada persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Isu berkaitan kutipan hasil cukai dibangkitkan Senator Idris Ahmad dan Senator Mohd Apandi Mohamad, pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Mohd Shahar berkata, pandemik Covid-19 turut menjadi antara faktor yang menjejaskan kutipan hasil cukai.

“Semakan mendapati kutipan hasil kerajaan menurun kepada RM227.3 bilion, berbanding anggaran asal ketika pembentangan Belanjawan 2020 pada 2019 iaitu RM244.5 bilion (18 peratus),” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan sentiasa proaktif memperkukuhkan kutipan hasil cukai dan meningkatkan keapungan cukai melalui insentif pembaharuan cukai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya ekonomi negara pulih dalam jangka masa sederhana, kerajaan akan memperluaskan asas hasil dengan mengurangkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan cukai bagi memastikan kutipan hasil yang mapan.

Artikel Berkaitan:

“Matlamat akan dicapai melalui realisasi insentif cukai, mengurangkan ketirisan cukai dan meningkatkan pematuhan cukai, melalui pengauditan yang berkesan,” katanya.

Mohd Shahar berkata, pemantapan pematuhan percukaian juga akan dilaksanakan dengan memperkasakan agensi pelbagai bidang atau 'multi agency taskforce'. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!